E-Book Dari Kepompong Hutang Kepada Bebas Kewangan – Nurussalam Aziz

sample-3

Pasal asalnya, buku ini telah disiapkan pada tahun 2014 dan ingin diterbitkan kepada para pembaca sekalian. Atas dasar yang tidak diketahui, pihak penerbit menangguhkan untuk menerbitkan buku ini. Jadi, atas dasar ingin berkongsi.. saya memberi penulisan dalam bentuk e-book secara PERCUMA. Ya, secara percuma. Mungkin anda tanya, apa yang saya dapat dari hasil penulisan ini. Mudah sahaja, sekiranya ilmu di dalam ini membawa kebaikkan kepada anda dan anda mempraktikkannya maka secara automatik saham akhirat saya sudah dibina kat ‘sana’. Harap-harap ia bawa kebaikkan kepada anda semua.

Buku ini adalah perkongsian peribadi saya dari seorang yang melakukan kesilapan berhutang secara membuta tuli kepada seorang yang dapat menyelesaikan hutang yang tidak baik. Lain orang, lain cara penyelesaian mereka. Di dalam itu juga saya ada selitkan amalan-amalan menurut Islam yang saya lakukan iaitu usaha dan bertawakal dengan Alla SWT. Buku ini adalah lengkap dan bukannya dipecahkan seperti sebelum ini.

Saya membenarkan anda untuk mencetak (103 muka surat) untuk kegunaan anda sendiri tetapi saya melarang sekiranya anda membuat duit dari kandungan buku ini. Anda juga boleh ‘kongsi’kan pautan laman ini kepada sesiapa sahaja yang anda rasa bermanfaat kepada mereka. Anda boleh lihat pautan ini untuk memuat turun kandungan e-book lengkap ini.

Dari Kepompong Hutang Kepada Bebas Kewangan_NurussalamAziz

Lain-lain Perangkap: 4. Memberi Hutang Kepada Orang Lain

Anda biasa memberi hutang kepada orang lain? Sekiranya ada, maka berapa mudahkan anda mendapatkan kembali wang yang dipinjamkan? Boleh dikatakan amat mudah untuk meminjam tetapi amat berat untuk membayar apa yang dipinjam. Ini merupakan kebiasaan manusia yang suka meminjam. Antara anda sedar atau tidak.

Saya tidak terkecuali dari menghadapi situasi sebegini. Kadangkala ada yang membayar tanpa perlu diminta, ada yang perlu diminta baru dibayar, ada yang perlu dipujuk untuk dibayar malahan ada yang dimarah apabila ingin mengambil kembali wang yang pernah dipinjamkan. Itulah lumrah yang saya selalu hadapi sebelum-sebelum ini. Bagaimana peminjam ini berjaya mendapatkan wang daripada saya? Mudah sahaja, mereka akan menceritakan masalah yang mereka hadapi dan dengan penuh bersungguh-sungguh akan cuba melangsaikan hutang itu secepat yang mungkin. Selalunya akan menceritakan akan mendapat gaji atau mendapat pendapatan yang lain dalam masa terdekat. Nasihat saya, kebarangkalian anda tidak akan dapat wang yang dipinjam dalam masa yang diberitahu. Malahan ada sesetengahnya akan mencipta berjuta alasan apabila sampai waktunya.

Mereka tidak akan memahami masalah yang anda hadapi. Pada pemikiran mereka, hanya mereka yang bermasalah. Saya akui pada satu-satu ketika itulah duit yang saya perlukan tetapi saya berikan kepada orang lain kerana saya beranggapan mereka lebih memerlukan. Tetapi apabila diselidik kembali, mereka sebenarnya menjadikan anda sebagai bank yang bergerak. Jadi, disini saya menyarankan kepada anda beberapa tips untuk mengelakkan anda dari terjebak dari perangkap peminta hutang tegar. Antaranya ialah:

  • lihat rekod sejarah penghutang (ini boleh bertanya kepada kawan-kawan pejabat atau sanak saudara). Sekiranya rekod sejarah pembayaran adalah bagus maka risiko untuk pinjaman tidak dibayar adalah rendah.
  • memberi sejumlah wang yang anda ikhlas tanpa mengharapkan bayaran itu dikembalikan. Walaupun jumlah yang dipohon adalah jauh berbeza dari yang jumlah anda berikan kepada mereka.
  • tidak memberi langsung kepada peminjam wang sekiranya anda khuatirkan risiko bayaran tidak dikembalikan.
  • membuat perjanjian hitam putih dan besertakan saksi. Dalam Islam ada menyarankan perjanjian hutang atau pembelian tangguh yang sebegini. Sila lihat pada bahagian Lampiran berkenaan contoh Perjanjian Hutang yang saya praktikkan. Saya bersandarkan kepada terjemahan al-Quran di dalam surah Al-Baqarah iaitu:

“Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah waktu sehingga dia mampu. Dan bersedekah (sebahagian atau semua hutang) itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” Surah al-Baqarah, ayat 280

“Wahai orang yang beriman! Apabila kamu bermu’amalah tidak secara tunai untuk masa yang ditentukan, hendaklah kamu menulisnya. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan benar. Dan janganlah penulis enggan menulisnya sebagaimana Allah telah mengajarkannya, maka hendaklah dia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (apa yang di tulis itu), dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah dia mengurangkan sedikit pun dari hutangnya. Jika yang berhutang itu orang yang lemah akalnya atau lemah (keadaannya) atau dia sendiri tidak mampu merencanakan, maka hendaklah walinya merencanakan dengan jujur, dan disaksikan dengan dua orang saksi dari orang lelaki (di antaramu). Jika tidak ada dua orang lelaki, maka (boleh) seorang lelaki dan dua orang perempuan dari saksi yang kamu redhai, supaya jika seorang lupa, maka seorang lagi mengingatinya. Jangan saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil dan janganlah kamu jemu menulis hutang itu, baik kecil mahupun besar, sampai tempoh masa pembayarannya. Yang demikian itu lebih adil di sisi Allah dan lebih dapat menguatkan penyaksian dan lebih dekat kepada tidak (menimbulkan) keraguanmu. (tulislah mu’amalah itu) kecuali jika mu’amalah itu perdagangan tunai yang kamu jalankan di antara kamu, maka tidak ada dosa bagi kamu (jika) kamu tidak menuliskannya. Dan saksikanlah apabila kamu berjual beli dan janganlah penulis dan saksi saling menyulitkan. Jika kamu lakukan (yang demikian), maka sesungguhnya hal itu adalah dari kefasikan pada dirimu. Dan bertakwalah kepada Allah, Allah mengajarmu dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” Surah al-Baqarah, ayat 282 

“Jika kamu dalam perjalanan(dan bermuamalah tidak secara tunai) sedang kamu tidak memperoleh seorang penulis, maka hendaklah ada barang tanggungan yang dipegang (oleh orang yang memberi hutang). Akan tetapi, jika sebahagian kamu mempercayai sebahagian yang lain, maka hendaklah yang dipercayai itu menunaikan amanahnya (hutangnya) dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah Tuhannya; dan janganlah kamu (para saksi) menyembunyikan penyaksian. Dan barangsiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” Surah al-Baqarah, ayat 283

Sekarang saya ingin memberi tips tambahan kepada anda. Sekiranya ada peminjam ingin meminjam dalam jumlah wang yang banyak, saya sarankan anda membuat satu perjanjian dan ditandatangani oleh kedua-dua pihak didepan peguam. Ini menjadikan penjanjian itu lebih profesional malahan boleh digunakan ke muka pengadilan sekiranya perlu. Harus diingat, ini memberi satu kuasa mutlak kepada anda di samping memberi satu komitmen yang bukan boleh dibuat main-main kepada para peminjam anda. Ingin saya nyatakan juga bahawa pinjaman terhadap seseorang yang sudah melebihi 5 tahun, adalah tidak boleh dituntut secara mahkamah. Disebabkan itulah saya menyarankan anda membuat perjanjian hitam putih dan disokong oleh bukti-bukti yang berkait.

Lain-lain Perangkap: 3. Bitcoin dan Phishing Scams

Dengan peredaran sistem maklumat yang semakin pesat, terdapat juga individu, syarikat malahan program yang berada di dalam kategori berhati-hati. Pelbagai program baru akan dipaparkan bersandarkan kepada isu semasa seperti emas, kejatuhan matawang dan saham. Mungkin anda terdengar tentang isu baru iaitu matawang digital iaitu Bitcoin. Pada 2 Januari 2014, Bank Negara Malaysia ada mengeluarkan kenyataan mengenai isu ini. Sehingga kini, BNM masih belum mengiktiraf matawang Bitcoin untuk digunakan di Malaysia. BNM juga menyatakan bahawa urusniaga Bitcoin tidak akan dikawal selia dan diurusniagakan di Malaysia. Oleh itu, saya mengharapkan anda tidak mencuba untuk menggunakan matawang digital ini kerana terdapat banyak lagi pilihan yang ada di dalam Malaysia sendiri.

Terdapat satu kegiatan yang dinamakan sebagai mencuri maklumat kewangan atau lebih dikenali dengan nama Phishing Scams. Ia merupakan kegiatan mencuri maklumat kewangan yang menggunakan medium e-mel, telefon, laman sosial dan pelbagai lagi. Oleh itu, elakkan memberi, mendedahkan atau menulis secara terperinci tanpa melihat orang yang memintanya.

Kegiatan ini akan menghantar e-mel bahawa akaun bank anda mempunyai masalah dan memerlukan anda memberi maklumat terperinci sehingga kata kunci rahsia anda. Ada yang menghantar surat melalui emel yang menyatakan bahawa mereka mempunyai banyak wang dan ingin menggunakan akaun bank anda sebagai perantara. Ada juga yang menyatakan anda telah memenangi sejumlah wang dari peraduan-peraduan yang ditawarkan malahan ada sesetengahnya anda tidak pernah mengambil bahagian dalam peraduan tersebut. Pelik bukan?

Kegiatan ini juga ada membuat panggilan dengan bertanya secara terperinci mengenai kad kredit anda. Secara jujurnya, lebih baik anda tidak mendedahkan kepada orang yang membuat panggilan tersebut. Adakah anda tahu bahawa nombor didepan kad kredit adalah nombor standard untuk kad kredit sesuatu bank. Dengan memperolehi nombor sekuriti dibelakang kad kredit anda, maka mereka mempunyai kuasa untuk menggunakan kad kredit anda sesuka hati.

**Adakah anda tahu bahawa pautan https://… adalah lebih baik tahap sekuritinya daripada http://… Ini adalah amat bersesuaian sekiranya anda melakukan sebarang transaksi pindahan wang.