Penyelesaian Hutang PTPTN dapat diskaun 20%

ptptnDengan berita daripada Perdana Menteri kita yang akan memberi diskaun sebanyak 20% kepada pemimjam yang membayar secara penuh dan 10% kepada pemimjam yang membayar secara ansuran tetapi tetap. Ini merupakan satu berita baik kepada pemimjam seperti saya.

Namun begitu, saya agak teragak-agak untuk membuat pembayaran memandangkan parti pembangkang ingin memansuhkan yuran ptptn sekiranya mereka menjadi parti pemerintah. Satu godaan yang amat tinggi pada pengamatan saya. Jadi akhirnya saya mengambil keputusan untuk ‘tunggu dan lihat’ sehinggalah pilihanraya yang ke-13 ini selesai.

Akhirnya keputusan yang di tunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia akhirnya diketahui iaitu parti pemerintah yang lama masih menerajui kerajaan Malaysia. Jadi setentunya formula 20% menjadi idaman saya. Pada saya, bagus juga memberi diskaun kepada pembayar sekiranya pemimjam membayar awal. Ini mendidik pemimjam supaya memansuhkan hutang secepat yang mungkin. Ia memberi satu kesan yang positif daripada mengguna pakai terma-terma menghukum kepada pemimjam.

Daripada sibuk dengan “mega sale” di pasaraya, baik saya capai “mega sale” di ptptn. Sudah tentu, semakin besar hutang anda, lagi banyak anda dapat jimat. Sebagai contoh: sekiranya baki pinjaman anda adalah RM10,000, tentulah penjimatan anda adalah RM2,000. Sekiranya baki pinjaman anda adalah RM60,000, setentunya penjimatan anda adalah RM12,000. Banyak bukan!!

Memandangkan ketika itu saya sudah bercuti, maka langkah pertama iaitu mendapat penyata untuk menyelesaikan hutang. Ini mudah sahaja, ambil nombor, tunggu giliran dan mintak penyata untuk menyelesaikan hutang secara penuh. Dari situ, satu penyata akan diberikan kepada anda dan yang paling bagus ia adalah PERCUMA. Setelah dapat penyata tersebut saya pulang ke rumah dan membuat kira-kira adakah berbaloi atau tidak untuk membuat pembayaran penuh. Sebelum ini pun, saya buat pembayaran lebih dari yang sepatutnya. Setelah di tilik dan di kira, akhirnya kata putus di buat iaitu membuat pembayaran penuh. Beberapa keputusan di ambil berdasarkan hutang adalah wajib di bayar, penjimatan yang wujud, memberi kebebasan berhutang lebih awal kepada saya dan memberi ruang saya untuk berada di posisi ‘menyerang’ kewangan yang lebih agresif.

Keesokkan hari, saya terus ke pejabat ptptn dan menyelesaikan hutang ptptn yang selama ini membelenggu untuk beberapa tahun ke belakangan ini. Daripada jimat 10 tahun hutang ptptn, kini saya sudah jimat sehingga 15 tahun secara kasarnya. Pembayaran sudah di buat dan saya mendapat surat pelepasan hutang dari pihak ptptn dan macam-macam surat lagi. Kalau tidak silap saya, ada 3 dokumen semuanya. Maka dengan adanya diskaun-diskaun begini, ia memberi impak positif kepada poket kewangan saya.

Sekiranya anda ingin tahu bagaimana perasaan menyelesaikan hutang, anda boleh mulakan dari sekecil-kecil hutang hinggalah sebesar-besar hutang. Perasaan saya ketika itu, priceless dan bersyukur.

“Selamat membayar apa jua hutang kepada anda.”

Tips: Panjatkan doa kepada Pencipta anda agar dipermudahkan untuk membayar hutang dan mengelak dari mengambil hutang yang tidak berfaedah.

Advertisements