Anda ada di mana?

Assalamualaikum dan selamat pagi wahai pembaca sekalian, mungkin para pembaca pun sudah agak bosan dengan artikel-artikel yang sebelum ini berkisar tentang takaful sahaja. Nak tak nak, kita kena terima bahawa takaful adalah satu medium pertahanan dalam kewangan peribadi. Kali ini, saya ingin kongsikan sesuatu yang mungkin memberi gambaran tentang ilmu kewangan peribadi. Ramai daripada kita ingin dan bercita-cita menjadi bebas kewangan di mana wang bekerja untuk kita dan bukan sebaliknya. Sekiranya anda masih bekerja untuk mendapatkan wang, mungkin ini boleh memberi satu pembuka selera dari tips-tips saya ini. Nak tahu lebih lanjut? Meh membaca artikel yang saya tulis ni (penat ooo.. taip panjang-panjang ni).

pyramid2

Seperti yang anda ketahui, saya masih melanjutkan pelajaran dalam bidang Master in Business Administration. Secara teorinya, banyak ilmu-ilmu yang saya dapati berguna untuk membantu para pembaca dalam bidang kewangan peribadi. Piramid di atas adalah initiatif saya untuk memudahkan para pembaca memahami secara ringkas dan membandingkan pada aras manakah anda berada dan apakah yang anda boleh lakukannya untuk mendapat aras yang lebih baik. Saya sarankan kalau anda ada minuman kafein untuk menjana perkembangan sel-sel supaya lebih laju berhubung. Opss.. kalau anda alergi dengan kafein, jangan ikut saranan saya ini. 🙂

KEPERLUAN ASAS (Basic Needs)
Ok, kita mulakan dari paras yang terendah tetapi paling penting iaitu Keperluan Asas (Basic Needs) yang merangkumi perkara-perkara asas dalam kehidupan. Apa itu perkara asas sebenarnya? Perkara asas ialah perkara keperluan yang anda amat-amat perlukan di dalam kehidupan. Ini merupakan perkara asas seperti makan, minum, tidur, tempat berteduh, pengangkutan, telefon (sekarang orang dah takleh hidup tanpa benda ni.. saya pun sama. hehe), agama, seks, pasangan hidup dan lain-lain lagi. Jadi, memandangkan ini berkisar mengenai hal-hal kewangan, saya akan bercerita mengenai sesuatu yang berkaitan dengan wang seperi rumah, kenderaan, hp, makan, minum.. dan sebagainya.

Pada abad ini, boleh dikatakan ramai yang masih berada pada paras ini dan tidak mampu untuk maju ke atas kerana banyak wang dihabiskan kepada keperluan asas. Tidak dinafikan, ada yang betul-betul mendapat wang setiap bulan hanya untuk menampung perkara asas. Namun begitu, ada juga yang berbelanja perkara asas ini menjadi perkara kehendak seperti membeli sesuatu di atas kehendak @ nafsu diri sendiri. Sebagai contoh, seorang yang menggunakan wang pinjaman untuk membeli hp yang beribu-ribu harganya. Anda terkejut? Ramai sebenarnya yang membuat perkara sebegini. Jadi, selagi anda tidak tahu apa itu keperluan dan kehendak, maka selagi itulah anda menjadi hamster yang berlari di dalam gelung permainan perkara asas. Anda tidak boleh berada pada paras yang kedua tertinggi kerana anda sentiasa ketiadaan wang. Mahu tak mahu, anda bekerja untuk wang. Yang paling perit, anda dikawal oleh wang! Ia akan menarik dan menangguhkan kewangan anda selama yang mungkin kalau anda tidak sedar dan cuba naik ke paras yang lebih tinggi.

KEPERLUAN SEKURITI (Security Needs)
Ok, mari kita berada dan berpijak pada paras kedua. Anda sudah boleh menekan butang no. 2 di lif sekiranya anda sudah tahu membeza keperluan dan kehendak asas. Pada paras ini, ia dipecahkan kepada dua iaitu membina Dana Kecemasan (Emergency Fund) dan Teknik Pertahanan (Defensive Method).

Paling mudah, dana kecemasan adalah dana yang selalunya disarankan simpanan yang bertempoh 6 bulan – 12 bulan dari perbelanjaan anda setiap bulan. Untuk apakah dana kecemasan ini? Ia boleh dijadikan sebagai back up fund sekiranya anda kehilangan kerja atau menjadi dana kecemasan sekiranya terjadi sesuatu yang terjadi tanpa di sangka-sangka. Tempat simpanan wang ini adalah tempat yang mempunyai kecairan yang tinggi seperti bank @ tabung haji (sekarang dah boleh buat pengeluaran dari atm maybank/bank rakyat). Rasanya penerangan ini sudah memudahkan anda untuk memahami kenapa dana ini diperlukan.

Apabila sudah mempunyai dana kecemasan, kita naik sedikit untuk berada di paras Teknik Pertahanan (Defensive Method). Apa gunanya teknik pertahanan ni? Bahasa mudah, ia berfungsi untuk menghalang dari duit simpanan anda digunakan. Jadi, ia sedaya upaya akan menjadi pak guard atau bouncer (doorman) sebelum serangan dari luar @ dalam kepada simpanan anda. Ia nampak tidak berfungsi sebab macam pak pacak je, tetapi apabila serangan berlaku.. inilah orang kanan kepada anda dan yang anda akan harapkan. Rasanya anda tahu siapakah ia.. anda masih tidak tahu? Pelan polisi perubatan anda! Kuat atau lemah, bergantung pada polisi perubatan anda. Nak taknak, memang kos rawatan sentiasa naik tahun ke tahun. Kalau pelan polisi perubatan anda tergolong dalam sekali jentik dah terbang, maka pak guard anda hanya boleh menahan serangan dari budak-budak kecik sahaja. Kalau nak saya review polisi anda, insya’allah saya akan tolong.. Mungkin anda beranggapan tak penting pun benda ni, apa susah.. hospital kerajaan @ hospital separa kerajaan banyak. Kalau anda jenis tak selesa dengan kepadatan orang atau menunggu lama, anda tak sesuai untuk berada di hospital ini. Percayalah.. hospital ini bukan sahaja padat ngan orang Malaysia, orang luar negara pun sama-sama nak merasai benda subsidi ni. Selain itu, ia juga menyelamatkan wang simpanan anda sekiranya terjadi kejadian di mana anda memerlukan rawatan yang mencecah ribuan, belasan ribu malah puluhan ribu. Perkara ini yang menyebabkan wang simpanan hangus malah ada yang terpaksa mengadaikan asset kepada orang lain. Itu belum lagi apabila anda betul-betul berada dalam kesempitan iaitu menagih simpati dari orang ramai seperti yang anda baca di akhbar, facebook, whatsup, berita dan sebagainya. Tapi, harus diingat.. jangan terlampau membuat pelan polisi perubatan dengan sesuatu yang anda tidak perlu, dengan bahasa mudah Over Coverage. 🙂 Apabila anda sudah melepasi bahagian Keperluan Asas dan Keperluan Sekuriti (Dana Kecemasan & Teknik Pertahanan), maka anda bersedia untuk pergi ke paras yang lebih tinggi iaitu Keperluan Kekayaan. Tapi sebelum itu, ramai orang fokus kepada bahagian ini kerana ia nampak menyeronokkan.. sebab, anda boleh rasa What You Give, You Get Back.. (macam lagu Scorpions pula). Namun ramai juga yang terpaksa menjual asset mereka dalam paras ini (Keperluan Kekayaan) apabila tidak mempunyai Keperluan Sekuriti. Sekarang anda boleh menyandar sambil mengiyakan kata-kata saya ini.

Keperluan Kekayaan (Wealth Needs)
Hmm.. bagaimana anda rasa apabila berada pada paras yang lebih tinggi iaitu paras Keperluan Kekayaan (Wealth Needs). Ini merupakan batu loncatan untuk anda Membina Kekayaan (Wealth Creation) sebenarnya. Apabila anda sudah melepasi dua paras terbawah, secara automatik.. anda hanya dapat menfokuskan seratus peratus untuk membina kekayaan. Kalau main bola, sekiranya anda ada goal keeper dan benteng pertahanan yang super power, setentunya anda hanya perlukan score dan score bola ke dalam jaring pasukan lawan sahaja. Tentu bestkan.. sepak je dan bukannya di sepak. 🙂 Pada paras inilah yang membezakan orang panggil “Dari Wang Buat Wang”.

“This area (Wealth Needs) will be play by rich people or future rich people”.
Nurussalam Aziz

Ok, setelah dua tapak terbawah sudah kuat.. maka anda boleh fokuskan kepada fokus utama iaitu Bebas Kewangan (Financial Freedom). Untuk menjadi bebas kewangan, anda seharusnya membina Teknik Serangan (Attacking Method). Ia mempunyai pelbagai pilihan seperti rumah sewa, kilang sewa, kedai sewa, emas, unit amanah (unit trust), saham, pelabur kepada syarikat, membuka perniagaan sendiri dan pelbagai lagi. Kalau anda tidak mempunyai wang untuk menyerang, gunakan duit kwsp untuk dicarumkan ke dalam unit amanah yang memberi pulangan yang lebih baik dan semestinya patuh syariah (untuk orang Islam). Emas, anda boleh membeli sedikit demi sedikit. Bak kata pepatah.. sikit sikit, lama lama jadi bukit. Saham, ada duit lebihan baru main dan semestinya anda sanggup menanggung untung ruginya (peringatan: jangan guna duit pinjaman untuk main saham!). Rumah, kedai, kilang malahan bilik, selagi ada penyewa.. itu adalah asset anda. Bila takde penyewa.. ia menjadi liabiliti anda. Jadi pilih secara bijak! Ok, kini anda serang dan serang.. layankan je. Hihi. Selepas itu apa perlu buat untuk jadi Financial Freedom? Ini tipsnya.. hehe. Sila baca perenggan bawah ye. 🙂

Financial Freedom dengan bahasa mudahnya anda boleh goyang kaki tapi duit masuk sentiasa. Kenapa jadi macam tu, sebab duit bekerja untuk anda. Tetapi selalunya, bila dah paras ni, selalunya mereka akan menambah dan menambah lagi dan menjarakkan diri dari paras ketiga. Ada juga yang hanya goyang kaki dan melakukan tugas-tugas seharian, kata mereka “Aku nak fokus kehidupan seharian je dan selebihnya aku nak pergi beribadat @ bawak family bercuti”. (kata-kata dari salah seorang klien saya). Jadi, ada yang mereka mempunyai pendapatan dari hasil sewa (pinjaman dah habis), ada yang hanya dapat pendapatan dividen dari pelaburan low risk, ada yang dapat pendapatan dari duit pencen.. dan lain-lain lagi.

Anda mungkin terasa begitu jauh untuk mencapai paras tertinggi iaitu bebas kewangan, sekiranya anda ingat apa itu keperluan dan kehendak, sekuritikan simpanan dan menyerang.. tidak ada jauhnya. Mari mulakan dari Langkah Pertama! Panjang gak membebel dalam artikel kali ni ye. Harap-harap pembaca mendapat manfaat dari ilmu ini.

Advertisements

Bebas Hutang Dengan Tentukan Gaya Hidup

Nampaknya terlalu lama saya tidak meng’update‘ tentang kewangan peribadi di dalam blog ini. Ini disebabkan kesibukkan saya diatas beberapa perkara iaitu penulisan buku pertama (Daripada Kepompong Hutang Kepada Bebas Kewangan – tunggu publisher membuat kerja2 pengemaskinian), penulisan buku kedua (tajuk belum ditentukan lagi tapi setentunya mengenai kewangan peribadi), agen Takaful AIA (takaful hayat), agen takaful am (baru hantar proposal untuk menjadi agen), proposal untuk membuat kelas, perniagaan sendiri, kerja-kerja dipejabat dan urusan peribadi. Anda boleh nampak bukan bagaimana kehidupan saya seharian. Walaupun begitu, saya harus bijak dalam pembahagian antara kerja dan keluarga. Saya tidak mahu keluarga saya terabai diakibatkan kesibukkan yang melampau kepada kerja-kerja seharian. Tidak lupa juga disamping mencari ilmu dunia, saya juga tidak lupa untuk mengejar ilmu akhirat. Hidup biar ada keseimbangannya.

Saya meminta maaf kepada para pembaca blog ini sekiranya terlihat terlampau banyak mengemaskinian blog yang berkisar tentang takaful. Ini kerana saya ingin memberi pelbagi infomasi kepada para pembaca mengapa pentingnya takaful dalam kehidupan kita. Ia merupakan benteng kepada simpanan anda. (udah udah laa Nurussalam Aziz, citer pasal kewangan peribadi pulak) Ok, berbalik kepada gaya hidup. Setiap orang mempunyai gaya hidup yang tersendiri. Ada yang suka bermewah-mewah dengan hutang yang tidak terkawal dan mengakibatkan musibah kewangan akan mengikutinya dan ada juga yang mengurangkan perbelanjaan dari tahun ke tahun dan mengakibatkan hidup akan ditekan oleh inflasi yang akan meningkat dari tahun ke tahun. Sekiranya saya menulis setiap gaya hidup yang negatif, maka blog ini akan menjadi terlalu panjang untuk dibaca. Lagipun, saya tidak gemar mengarahkan anda ke arah kehidupan kewangan yang negatif.

Anda tahu bagaimana kehidupan sebagai orang yang bebas kewangan. Kaya tidak semestinya anda bebas kewangan. Ada yang anda orang yang mewah kehidupannya tetapi hanya kaya tidak lama, selepas itu akan dihambat oleh hutang-hutang yang dikumpul sebelum ini. Tidak hairanlah, mengikut statistik di Malaysia, ramai yang memiliki Sijil Bankrap dan Muflis seawal umur 20-an! Umur ini sepatutnya anda baru mengumpul wang dan bukannya mengumpul hutang. Ini merupakan keadaan biasa yang dimiliki oleh ramai rakyat Malaysia dalam isu kawalan gaya hidup. Penggunaan kad kredit (takde ilmu jangan guna toyol ni), pinjaman peribadi, pinjaman kredit, hutang dengan orang orang lain malah ada yang sanggup pinjam dengan ceti haram @ along (ni memang cari nahas). Ini merupakan formula mudah untuk menjadikan gaya hidup anda yang negatif dan menjadikan anda mempunyai kewangan peribadi yang negatif. Kalau anda tidak membuat perubahan dengan gaya hidup sebegini, adalah MUSTAHIL untuk anda bebas kewangan dikemudian hari.

(Cukuplah membebel Nurussalam Aziz, cepat skit bagi tips tu..) Ok, formula mudah yang diamalkan oleh orang kaya, maksud saya kaya dan bebas hutang tidak baik (bad debt) adalah dengan MEMBINA ASET/PENDAPATAN untuk MEMBAYAR HUTANG. Hah.. ini merupakan formula yang mudah ditulis tetapi ramai yang memberi ‘excuses‘. Orang yang kaya mencari jalan untuk mencapai (move forward) manakala orang miskin hanya memberi alasan (static or goes backward). Anda mungkin biasa mendengar pelbagai tanggapan atau alasan yang negatif untuk terus maju, mungkin anda juga menggunakan ayat-ayat tersebut di dalam kehidupan kewangan anda? Untuk terus maju dalam kewangan, anda harus menjadi KREATIF dan berani mencuba untuk keluar dari ZON SELESA. Ya, mungkin pada permulaannya adalah sukar tapi dengan usaha yang gigih dan selebihnya TAWAKAL KEPADA ALLAH, percayalah anda akan dapat menuai hasilnya nanti. Anda ada baca buku biografi para billionaire? Ada sesetengah dari mereka adalah rakyat pendatang di Negara asing dan ada juga yang lahir dari keluarga papa kedana. Apa yang menjadikan mereka lebih maju adalah ADA MATLAMAT dan berusaha untuk MENCAPAI MATLAMAT tersebut.

Bagaimana anda ingin membina aset/pendapatan? Terdapat 1,000,000 juta cara malahan lebih untuk anda membina aset/pendapatan. Pilih sahaja mengikut kesesuaian anda dan ketabahan anda untuk membinanya. Ada yang mempunyai ketabahan yang tinggi untuk mengapai aset/pendapatan yang lebih tinggi. Ada yang mempunyai ketabahan yang sedikit lalu mempunyai aset/pendapatan yang sedikit. Yang selalu kita dengar, ramai yang ingin membuat kerja dengan mudah tetapi mempunyai aset/pendapatan dengan mudah serta banyak. Yang akhirnya ditipu oleh jerung-jerung yang sememangnya menunggu mangsa-mangsa yang mempunyai sikap sebegini. Untuk mengetahui apa itu aset, ia akan MEMENUHKAN POKET anda dan bukannya MEMBOCORKAN POKET anda. Jadi, fokuskan membina aset/pendapatan anda dan biarkan ia yang membayar segala hutang, gaya hidup dan yang paling penting iaitu menambah lagi aset. Semakin besar aset anda, maka makin jauh diri anda dari terjerumus dalam kawalan hutang yang tidak baik. Seperti pepatah dari saya, ‘Kawal atau Dikawal’ (kena copyright ni..hehe). Anda yang tentukannya. Selamat membaca!

Yeah, rupanya jumlah posting yang dikongsi sudah mencapai 101 jumlahnya!