Relevankah Melabur Dalam TH dan AHB?

Alamak.. tengok tajuk ni agak risau saya dengan penerimaan para pembaca sekalian. Saya bukanlah ingin memberi sebarang keputusan mengenai tajuk ini tetapi hanya untuk memberi sedikit pandangan terhadap kedua-dua portfolio pelaburan yang bersifat risiko rendah. Ok, biar kita cerita sejarah pemberian dividen dari tahun 2011 sehingga terkini. Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) dari tahun 2011 – 2017 manakala Tabung Haji (TH) dari tahun 2011 – 2016. Biar saya mulakan satu persatu.

Dalam penulisan saya sebelum ini, banyak diterangkan mengenai AHB dan terdapat beberapa perubahan dari artikel-artikel saya yang terdahulu iaitu kini anda boleh mula membuka akaun dengan 100 unit = RM100 (kalau dulu RM500) dan jumlah maksimum sudah bertukar dari RM400,000 (kalau dulu RM200,00). Mari kita lihat pula sejarah pemberian dividen (sila rujuk gambar kat bawah).

Kalau dikira secara 7 tahun (dari 2011 – 2017), saya dapat merumuskan bahawa pulangan dividen (tidak termasuk bonus) adalah 6.33% setahun dari 2011 sehingga 2017. Bahasa mudah 6.3% laa yer.. Kelebihan AHB ini ialah ia memberi pulangan yang lebih dari 6% (tanpa ditolak pelbagai caj spt Unit Trust dan Saham BSKL) dan akan diberi setiap 6 bulan sekali (Mac & September). Saya ada menulis bagaimana anda ingin manipulasi dengan pemberian dividen 2 kali setahun ni dalam artikel terdahulu. (boleh layari link ini: tips-gandakan-pelaburan-amanah-hartanah-bumiputera ). Kekurangan AHB pula adalah selalu kekurangan dana (dana cepat habis dibeli) dan tidak memiliki buku seperti ASB (menarik sebab boleh tengok angka simpanan makin menaik @ menurun).

Bagaimana pula dengan  Tabung Haji (TH)? Poftfolio pelaburan Tabung Haji pula berlainan sedikit dengan AHB iaitu dividen di beri secara tahunan (seperti ASB). Mari kita lihat pemberian dividen dari 2011 – 2016 (sila rujuk gambar di bawah).

Kalau dikira secara 6 tahun (dari 2011 – 2016), saya dapat merumuskan bahawa pulangan dividen adalah 5.67% setahun manakala bonus adalah 1.91% setahun. Kalau di campur dividen + bonus ia bersamaan  7.5 setahun dari tahun 2011 sehingga 2016. Cuma jika dilihat sekarang dividen makin menyusut iaitu kurang dari 6% untuk 2 tahun ke belakangan ini, agak rugi kepada yang mempunyai simpanan yang melebihi RM10,000. Ini kerana kiraan bonus hanya mengambil jumlah sama seperti kos minimum melakukan haji secara muasasah (haji kali pertama) iaitu RM10,000, lebihan dari RM10,00 tidak akan di kira (hanya mendapat dividen sahaja). Tujuan asal portfolio ini untuk anda menunaikan haji tapi disebabkan ia bersifat low risk dan memberi pulangan yang lebih baik dari fixed deposit, maka ia boleh digunapakai. Kekurangan Tabung Haji kelihatan pulangan dividen makin menguncup (seperti ASB) jika dilihat dari 10 tahun ke belakang. (boleh layari link ini: sejarah-dividen-tabung-haji ). Ia sama seperti AHB dan ASB iaitu pelaburan ini tidak ditolak caj-caj seperti anda melabur di dalam Unit Trust ataupun Saham BSKL.

Pada pengamatan saya, kedua-dua portfolio pelaburan ini masih relevan kepada golongan 50 tahun ke atas atau tanggungan (anak-anak di bawah umur 18 tahun) kerana penerimaan risiko haruslah rendah kepada mereka di samping memberi pulangan yang masih baik. Namun begitu, golongan ini boleh mengagihkan beberapa peratus dalam Unit Amanah (Unit Trust) untuk mendapatkan pulangan yang lebih tinggi (benchmark untuk menjadikan unit trust yang bagus adalah lebih daripada 8% setahun). Kepada yang ingin memberi pelaburan yang lebih baik, anda boleh mula melabur dalam Unit Amanah atau mula berjinak dengan pasaran saham. Namun begitu, kalau anda jenis tidak berminat dengan pasaran saham BSKL.. mungkin anda boleh bermain dengan Unit Amanah kerana anda boleh pecahkan portfolio dari risiko rendah, sederhana dan tinggi. Saya? Sudah bermula bermain dalam kategori tinggi atau high risk (prefer) tapi masih tidak meninggalkan low & medium risk.

Insya’allah selepas ini saya boleh sharing pula mengenai Unit Amanah dan Pasaran Saham BSKL. 🙂

Advertisements

Kira-kira mudah untuk money = time vs rate

Hari ni rasa nak share kira-kira mudah untuk melihat kuasa kepada compounding interest untuk melihat berapa lamakah masa diperlukan untuk mengandakan pelaburan anda dengan sekali ganda. Ini kiraan kasar tanpa memerlukan kiraan jumlah inflasi ataupun kiraan yang terlalu tepat. Dengan kata lain, untuk memudahkan anda mendapat gambaran secara kasar.

Kita boleh gunakan Rule 72 di mana formulanya adalah 72 bahagi rate (yang diperlukan). Sebagai contoh:

Anda ingin melihat berapa tahun diperlukan dengan rate (kadar) yang anda perolehi dengan time = 72/rate (t = 72/r):
1. rate adalah 6% : (t = 72/6, t = 12 tahun)
2. rate adalah 8% : (t = 72/8, t = 9 tahun)
Jadi, sekiranya anda melabur RM1,000 dengan mendapat pulangan rate 6%, maka anda memerlukan 12 tahun untuk wang itu berganda menjadi RM2,000. Berbeza pula dengan rate 8%, anda dapat mempercepatkan gandaan pulangan hanya 9 tahun sahaja. Jadi, semakin tinggi rate, maka makin cepat wang anda menjadi sekali ganda.

Sekiranya anda pula memikirkan, berapakah rate yang diperlukan dengan target masa (time) yang diberi. Sebagai contoh:

Anda boleh menggunakan formula ini. rate = 72/time (r = 72/t):
1. masa adalah 5 tahun : (r = 72/5, r = 14.4%)
2. masa adalah 12 tahun : (r = 72/12, r =  6%)
Jadi, untuk mengandakan wang anda dari RM1,000 kepada RM2,000 (sekali ganda).. anda memerlukan rate setinggi 14.4% untuk menjadikan ia dapat dicapai dalam jangkamasa 5 tahun. Sekiranya anda ingin mengandakan wang (sekali ganda) selama 12 tahun, maka anda memerlukan 6% sahaja.

Kesimpulan dari sesi sharing hari ini, anda boleh rujuk kadar atau rate yang anda perolehi dari pelaburan anda tanpa memerlukan formula dan kalkulator yang terlalu complicated. Formula Rule of 72 adalah kiraan paling mudah untuk anda mengira secara kasar berapakah kadar (rate) yang diperlukan atau jangkamasa (time) yang diperlukan untuk mengandakan pelaburan anda. Semakin rendah rate anda maka semakin lambat untuk anda mengandakan wang.

** Sebenarnya ada pelbagai lagi formula seperti Rule of 70, Rule of 69.3, E-M Rule atau Future Value (FV).

Skim Cepat Kaya @ Kayap

Saya terpanggil untuk menulis artikel ini kerana melihat trend skim-skim ini semakin berleluasa dengan pelbagai wajah dan kulit. Dengan cengkaman kos taraf hidup yang semakin meninggi maka makin ramailah mat jenin @ minah jenin lahir kerana bermimpi-mimpi untuk menjadi cepat kaya. Ya, sebab itu skim-skim ini wujud dengan wajah yang bermacam-macam. Dari emas, pembinaan rumah, melabur di syarikat dan pelbagai-bagai lagi. Boleh dikatakan sudah ramai orang yang tertipu dengan skim cepat kaya, bukan hanya orang biasa-biasa malahan ada golongan yang terpelajar terperangkap dengan skim-skim sebegini. Biasanya skim-skim begini menawarkan jumlah pelaburan yang terlalu berlipatkaliganda.

Oleh itu, saya ingin berkongsi sedikit bagaimana untuk mengenali skim-skim yang akan men’kayap’kan anda tetapi meng’kaya’kan tokey-tokey skim ini.

  • Apakah produk yang ditawarkan? Produk yang selalu digunakan adalah mereka akan tolong menyimpan untuk anda. Ini bahasa manis.. kalau pelaburan emas, biar anda simpan sendiri. Kalau rumah lot, biar status tanah ditukar kepada nama anda dahulu.
  • Apakah keuntungan berlipatkali ganda? Ini kebiasaan yang akan diwar-warkan. Antara keuntungan anda berlipatkaliganda atau barangan tersebut tersangatlah murah.
  • Adakah bersandarkan kepada men’rekrut’ orang dibawah anda? Ada yang memberi diskaun sekiranya anda ajak kawan-kawan @ sedara mara.
  • Adakah memberi pelbagai pakej yang akan bersandarkan kepada keuntungan semata-mata? Dari termurah hingga termahal.
  • Adakah produk itu mendapat pengiktirafan, sekiranya ada maka tunjukkan hitam putihnya (bukti yang sahih)? Kadang kala ada yang menggunakan nama-nama orang politik dan artis.
  • Adakah mereka seperti memberi tekanan untuk anda mengambil/menjadi orang bawahan mereka? Ini biasanya mereka akan berkata peluang hanya datang sekali..

Bagaimana skim ini berfungsi?

Paling mudah, wang yang anda masukkan.. wang itulah juga akan diberikan sebahagian sedikit untuk anda. Maka anda pun akan bercakap, skim ini betul.. satu bulan, ok.. dua bulan, ok.. tiga bulan, masih.. maka anda akan mula canangkan kepada kawan-kawan, adik beradik, ipar duai dan mungkin kepada seluruh dunia! Mungkin dalam ramai-ramai, ada yang termakan umpan sebegini.. system pyramid ni mudah, bila yang bawah dah tak support @ tak berkembang.. maka ia akan berhenti dan mula menjadi masalah. Maka, selepas itu.. orang-orang sebegini akan mula tidak mengangkat telefon, sukar dihubungi, sibuk memanjang dan sebagainya. Selepas itu.. mereka akan hilang bersama-sama duit anda yang lebur.

Konsepnya mudah.. anda bagi RM10,000 maka pulangan yang dikatakan 10% setiap bulan. Ini contoh pengiraan:
– bulan 1: RM1,000 <– duit anda sebenarnya
– bulan 2: RM1,000 <– duit anda sebenarnya
– bulan 3: RM1,000 <– duit anda sebenarnya

Maka lagi RM7,000 mereka akan menghilangkan diri bersama-sama duit yang mereka perolehi. Anda nampak permainan mereka di sini.

Selain itu juga, anda jangan terlalu tamak apabila ditawarkan skim-skim sebegini kepada anda. Ia lebih kepada indah khabar dari rupa. Jadi, anda beringatlah sebelum terkena. Mereka selalunya bertukar-tukar taktik untuk memerangkap anda tapi hanya satu yang masih belum berubah. Memancing anda dengan jumlah keuntungan yang terlalu tinggi hingga ke syurga malahan menjadikan kocek anda penuh dengan sepantas kilat. Hati-hati kerana akhirnya poket mereka yang penuh dan bukannya poket anda. Ambillah masa untuk berfikir dan bagilah jawapan yang terbaik untuk menolak pelawaan mereka.

Saya pernah ditawarkan pelbagai skim-skim sebegini, namun apabila saya berpegang pada asas ilmu skim-skim ini maka selamatlah duit saya dari melebur ke dalam skim-skim ini. Ya, nama skim sentiasa berubah-ubah tetapi isi asal skim-skim ini adalah sama. Banyak yang apabila saya tunggu setahun dua.. maka terbongkarlah skim ini akan meng’kayap’kan poket sahaja. Harap ilmu ini bermanfaat kepada anda.