Tiada Ilmu Mengenai Kewangan

bahagian-pertama

Boleh dikatakan ketika saya masih muda, istilah kewangan agak janggal dan jarang sekali didengar. Memang betul, semasa muda saya lebih menghabiskan masa yang terluang dengan aktiviti-aktiviti yang biasa budak-budak sebaya saya lakukan. Bermain bolasepak, bermain permainan arked 20 sen, berjalan-jalan di hujung minggu, menangkap ikan di parit-parit dan pelbagai lagi aktiviti-aktiviti yang biasa dilakukan oleh budak-budak kebanyakkan. Sebab itu, saya hanya menjadi budak biasa-biasa sahaja pada waktu itu.

Selepas meningkat dewasa atau lebih tepat lagi remaja. Saya masih melakukan aktiviti-aktiviti yang sama seperti orang yang biasa-biasa sahaja. Boleh dikatakan tiada hala tuju dan hanya bersuka ria menikmati alam remaja. Untuk mencari ilmu tentang kewangan di masa hadapan, mungkin satu mimpi yang paling ngeri pada ketika itu. Maklumlah apabila di sebut tentang kewangan, saya hanya memandang itu hanyalah untuk orang bank ataupun akauntan yang lebih tahu dan pandai. Namun, ternyata andaian saya silap. Bukan sahaja silap, tetapi amat silap.

Ternyata tanpa ilmu kewangan, saya amat lemah dalam bidang ini. Boleh dikatakan hanya tahu menghabiskan duit tetapi bukannya menjana duit yang lebih baik. Boleh dikatakan juga saya tidak membesar dalam persekitaran yang mengambil kisah tentang ilmu kewangan maka menjadikan saya tidak tahu ke mana hala tuju saya pada waktu itu. Apa sahaja masalah yang timbul mengenai wang, akan saya jadikan pinjaman berhutang sebagai pilihan nombor satu. Tanpa ilmu, anda dan saya hanyalah tong kosong sahaja. Hanya kuat berdendang tapi isinya tiada.

Inilah kesilapan saya yang paling besar di dalam hidup iaitu tidak belajar tentang ilmu kewangan. Dan sekiranya anda juga tidak belajar tentang ilmu ini, maka anda juga akan sesat seperti saya dahulu. Tetapi kerana anda sudah membaca malahan lebih baik sekiranya terus membeli buku ini, ia akan menjadikan peningkatkan ilmu tentang kewangan anda ke tahap yang lebih baik dari sebelum ini. Lagi baik, anda akan dapat membandingkan diri anda dan saya untuk dijadikan sebagai kayu ukur dalam kewangan diri sendiri.

Sebolehnya-bolehnya, saya akan mencuba untuk mengelakkan anda dari melakukan kesilapan-kesilapan yang saya telah lakukan dan lalui sebelum ini. Ini kerana pengalaman kewangan saya adalah perit dan menjadikan kewangan saya seperti telur di hujung tanduk yang berada di puncak bangunan pencakar langit. Tinggi betul risiko saya bukan? Kalau anda tidak ingin menjadi seperti saya, anda harus membaca dan membaca tentang ilmu kewangan supaya anda lebih baik dari sekarang.

Jadikan ilmu kewangan anda hari ini adalah lebih baik dari semalam dan jadikan ilmu kewangan anda hari esok lebih baik dari hari ini. Eh, hari esok adalah lebih baik dari hari ini? Mustahil bukan? Segalanya tidak mustahil sekiranya anda terus membaca buku saya ini. Akan saya ceritakan masalah dan penyelesaiannya secara berperingkat -peringkat. Ini supaya anda dapat melihat kesilapan kewangan yang saya hadapi dahulu dan bagaimana saya menanganinya. Sekarang anda sudah boleh menyandarkan diri sambil menghirup secawan kopi yang sungguh sedap aromanya.

Di dalam buku Rich Dad, Poor Dad tulisan Robert T.Kiyosaki, banyak menceritakan perbezaan kewangan seseorang. Malahan, beliau menyatakan sekiranya anda seorang yang kaya tetapi tidak pandai menguruskan kewangan, maka kewangan itu tidak bertahan lama. Semestinya anda biasa dengar jutawan-jutawan segera di Malaysia yang kisahnya terpampang di surat khabar mahupun berita di televisyen. Sepatutnya mereka akan senang dengan sejumlah duit yang dimiliki secara durian runtuh. Tetapi sejuta kali sayang, kebanyakkan daripada mereka akan jatuh ke tahap asal malahan ada yang menjadi lebih teruk kurang dari setahun. Duit yang dapat, akan dibelanjakan sesuka hati tanpa ada hala tuju yang sebenar.

Boleh dikatakan ketika itu, pelbagai kehendak yang berupa tsunami akan muncul. Semua nampak ingin di beli dan semuanya nampak menarik. Anda tidak percaya? Percayalah kerana keadaan ini memang banyak terjadi. Ini jelas menyatakan bahawa ramai orang belum bersedia untuk berada dalam golongan orang kaya kerana mereka tidak mempunyai ilmu untuk mengawal jumlah wang yang banyak. Dengan mempunyai ilmu dan cetakan biru tersendiri, ia memungkinkan anda tahu bagaimana untuk menguruskan kewangan.

Anda mungkin biasa melihat orang miskin yang miskin kewangannya. Anda beranggapan bahawa mereka ini miskin kerana tidak memiliki kemewahan yang dapat ditonjolkan. Anda beranggapan bahawa mereka yang bekerja di kerusi-kerusi empuk adalah kaya raya, malahan jika melihat slip gaji mereka ada yang mencecah belasan malahan puluhan ribu ringgit. Adakah anda percaya kalau saya katakan kebanyakkan daripada mereka adalah lebih miskin daripada orang yang anda lihat miskin luarannya. Cuba anda lihat jumlah perangkaan mereka yang muflis ataupun bankrap, mereka adalah dari golongan yang anda lihat miskin atau yang anda lihat sebagai golongan profesional. Anda tidak tahu? Biar saya ceritakan kepada anda, puluhan ribu yang bankrap adalah dari golongan profesional. Ini menunjukkan tanpa ilmu kewangan, anda tidak mampu mengawal wang yang ada. Sekiranya wang yang ada perolehi sekarang tidak dapat anda kawal, bagaimanakah keadaannya apabila anda memiliki wang yang lebih banyak. Anda terkejut? Nampaknya saya sudah menjana sel-sel di dalam otak anda untuk berfikir.

Jika anda ingin berjaya dalam kewangan, maka anda haruslah belajar tentang ilmu kewangan. Mudah bukan? Jadi mulalah mengurus kewangan anda! Sekiranya kewangan diri sendiri anda tidak dapat di urus, bagaimana anda ingin mengurus sesuatu yang lebih besar. Baca dan carilah mentor yang sebaiknya. Cuba belajar dari orang yang berjaya. Untuk menjadi seorang yang berjaya maka belajarlah dari orang yang sudah berjaya.

Golongan bawahan dan menengah adalah golongan yang selalunya kurang mempelajari ilmu kewangan, mungkin mereka sibuk dengan mencari duit untuk menampung kehidupan seharian ataupun ilmu kewangan tidak penting bagi mereka. Bagaimana anda ingin mengawal kewangan sekiranya anda tidak tahu menguruskannya. Ini seperti memberi orang lain menguruskan keluarga anda. Nampak seperti tidak logik, tapi itulah kenyataan apabila melibatkan pengurusan kewangan. Lihat disekeliling anda mahupun diri anda sendiri.

Apabila anda dapat kenaikkan gaji mahupun bonus, adakah kewangan anda makin berubah? Adakah hutang anda makin berkurangan atau semakin bertambah? Selalunya menjadi sama mahupun makin teruk. Ini kerana apabila kenaikkan gaji setiap tahun, maka anda sudah bercita-cita untuk meningkatkan taraf hidup kepada yang lebih selesa atau lebih berjaya supaya dapat ditunjukkan kepada orang lain mahupun kepuasan sendiri. Seperti pepatah melayu dahulu, makin besar periuk maka makin besarlah keraknya. Selalunya kerak tidak dimakan sendiri, selalunya di buang di dalam tong sampah mahupun menjadi rezeki kepada ayam.

Dahulu, saya lalui kehidupan tanpa sebarang ilmu kewangan malahan lebih teruk apabila saya mendengar ilmu kewangan dari pihak yang tidak sepatutnya. Saya mendengar nasihat kewangan dari penjual insurans, penjual pinjaman malahan dari orang yang tidak berjaya dalam kewangan. Ini adalah satu konsep yang silap untuk anda mengambil nasihat kewangan dari mereka. Sebagai contoh, anda meminta nasihat dari penjual insurans (yang hanya ingin menjual produk @ mengejar target sales) untuk menceritakan tentang kewangan. Setentunya penjual insurans (ada juga agen yang telus @ jujur) tersebut akan menceritakan dari sudut kewangan yang bertemakan insurans. Saya tak salahkan mereka kerana memang kerja mereka adalah menjual insurans. Kalau mereka menceritakan dari sudut lain, setentunya anda tidak akan membeli insurans dari mereka.

Begitu juga sekiranya anda meminta nasihat dari pihak bank. Seboleh-bolehnya mereka akan menawarkan anda mengambil pinjaman-pinjaman dari bank yang mereka bekerja. Saya juga tidak salahkan mereka kerana mereka mendapat komisen hasil dari pengambilan pinjaman oleh anda. Itu adalah kebiasaan untuk orang yang bekerja dengan pihak bank. Saya juga ada mengambil nasihat daripada orang yang memang tidak selayaknya bercerita perihal kewangan. Pelbagai teori-teori hebat yang diberikan dan setentunya teori-teori tersebut berdasarkan kejayaan yang di bina oleh orang lain. Setentunya anda pernah berjumpa dengan orang-orang sebegini. Saya juga tidak salahkan orang-orang sebegini kerana mereka penyedap cerita sahaja tetapi isinya tiada.

Kalau saya bercerita orang-orang yang anda tidak sepatutnya menerima nasihat tentang ilmu kewangan, setentunya akan berjela-jela dan menyebabkan anda terlena membaca buku ini. Boleh saya katakan bahawa saya menyalahkan diri sendiri kerana tidak belajar tentang ilmu kewangan. Sekiranya saya belajar tentang ilmu kewangan, maka saya akan lebih mahir tentang kewangan. Seharusnya saya belajar dari seseorang yang mempunyai rekod kewangan yang bagus. Ini mudah sahaja, lihat orang sekeliling anda dan siapakah yang mempunyai kewangan yang baik dari tahun ke tahun. Belajar dari mereka bagaimana kewangan mereka di bina dan lebih maju dari tahun ke tahun. Namun begitu, saya nasihatkan anda supaya tidak melihat kejayaan seseorang itu dari kereta yang di pandu mahupun rumah yang mereka diami. Tapi anda haruslah melihat apakah simpanan dan aset yang mereka ada. Nah, saya sudah memberi sedikit tips untuk anda berjaya dalam kewangan. Mudah bukan?

Biar saya ceritakan lebih lanjut kenapa anda harus mencari orang yang tahu atau pakar tentang ilmu kewangan. Sekiranya anda sakit, siapakah anda cari? Setentunya doktor. Sekiranya kereta anda rosak, siapakah anda cari? Setentunya mekanik kereta. Sekarang anda boleh faham konsepnya, anda harus mencari orang yang selayaknya dalam bidang mereka. Sekiranya mereka penjual produk atau pemberi pinjaman, anda janganlah bertanya kepada mereka kerana selepas itu anda akan membeli atau mengambil pinjaman dari mereka. Selepas itu, kewangan anda akan makin hangus seperti saya dahulu. Rakyat malaysia amat kurang mengambil berat tentang ilmu kewangan, namun ramai yang ingin kaya. Pelik bukan? Ingin kaya tetapi tidak ingin belajar tentang ilmu kewangan. Sesuatu yang amat luar biasa bagi saya sekarang, tetapi dahulu saya tergolong dalam orang yang seperti ini.

Ada juga orang menganggap dengan belajar ilmu kewangan, ia seperti mengejar dunia semata-mata. Inilah yang biasa saya dengar dan pelajari dahulu. Tanggapan ini mula berubah apabila saya belajar tentang ilmu kewangan. Pada pandangan saya, adalah lebih baik anda berjaya dalam ilmu kewangan kerana selepas itu anda akan menjadikan kewangan anda lebih positif. Saya pernah mendengar satu kata-kata dari seseorang “Apabila anda berfikiran positif mengenai kewangan, anda akan dilingkari dengan suasana kewangan yang positif. Apabila anda berfikiran negatif mengenai kewangan, anda akan  berada dalam radius negatif di dalam kewangan”.

Oleh itu, anda boleh memilih untuk berada di pihak mana, positif atau negatif. Anda dapat memberi nilai kewangan yang positif kepada keluarga terdekat, keluarga jauh, kawan-kawan malahan orang lain yang tidak anda kenal. Saya lebih suka menjadi orang yang memberi daripada orang yang meminta. Nah, mungkin pandangan anda mula berubah sedikit demi sedikit. Jadilah orang yang tangannya di atas, bukannya orang yang tangannya di bawah. Sekurang-kurangnya belajarlah ilmu kewangan supaya ilmu itu dapat anda perturunkan kepada anak-anak dan cucu-cucu anda nanti. Setentunya anda akan gembira apabila melihat mereka tidak gundah gulana dengan kewangan. Saya juga biasa mendengar orang yang menyatakan sekiranya anda kaya, anda akan menjadi sombong atau jahat.

Dan setentunya anda akan menggunakan cara yang tidak elok untuk berada dalam kelompok orang yang kaya raya. Pada pandangan mereka, menjadi kaya adalah salah dan sesuatu yang negatif. Anda haruslah mengubah persepsi ini, wang dan kaya tidak salah. Itu adalah sikap dan hati manusia, berapa ramai golongan bawahan dan menengah yang mempunyai sikap yang tidak baik disekeliling anda dan adakah mereka kaya raya? Sebagai contoh, anda anggap wang itu sebagai pisau. Maka pisau itu boleh menolong mempercepatkan kerja seharian anda atau anda melakukan sesuatu yang negatif dengannya. Jadi anda yang membuat pilihan dengan pisau tersebut, bukannya orang lain. Itulah contoh yang mungkin membuatkan anda bersikap lebih positif tentang kewangan. Anda sudah makin positif bukan?

Itulah kenapa saya amat menekankan tentang ilmu kewangan dan ia berada tahap paling atas selepas ilmu agama saya. Tanpa ilmu pada kewangan, anda mudah di tipu dan anda tidak tahu apakah langkah-langkah yang betul untuk menjadikan nilai kewangan menjadi lebih positif. Belajarlah untuk berubah dan tiada istilah sudah terlambat untuk diri sendiri. Biar lambat dari tiada membuat perubahan langsung. Jangan salahkan takdir kerana itu adalah sikap orang yang berputus asa. Tanamkan dalam diri yang ada orang lain lagi susah dari anda dan ada dikalangan mereka yang amat berjaya. Saya teringat satu potongan ayat al-Quran dan mungkin juga anda biasa dengar petikan ayat al-Quran ini.

…”Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”… Surah ar-Ra’ad, ayat 11

Itulah apa yang agama saya iaitu Islam memberi panduan dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Jadi apa yang harus saya dan anda lakukan ialah mengubah diri sendiri menjadi positif. Selepas anda menjadi seorang yang positif, anda akan memberi pandangan positif kepada orang yang terdekat dengan anda. Dengan itu orang terdekat anda akan menjadi positif. Kesan positif ini akan berkembang dengan sesuatu yang kecil iaitu bermula dengan anda dan saya. Maka positifkan diri anda dari sekarang dan setentunya dari sudut kewangan yang ingin saya sarankan. Ingat, mulakan sifat positif itu dari anda dan bukannya bermula dari orang lain. Kuatkan sikap positif kewangan supaya dapat mengelak sifat negatif kewangan. Ini kerana sikap negatif kewangan akan hilang apabila sikap positif sudah tertanam dalam diri sendiri dan dengan itu anda akan memberi impak positif kewangan kepada orang lain. Bermula dari anda dan akhirnya akan membesar kepada orang sekeliling. 

Beberapa ilmu pengurusan kewangan yang sepatutnya saya belajar dari dahulu melibatkan beberapa bahagian. Sekiranya anda berpegang kepada beberapa tips ini, ia memudahkan anda menguruskan masalah kewangan anda.

Sila Tinggalkan Pesanan... Terima Kasih

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s