Kesilapan saya: 2. Kad Kredit

Mengikut statistik dari Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) dari tahun 2007 sehingga 2013, seramai 4,875 kes (4.18 peratus) yang melibatkan jumlah kes kebankrapan di Malaysia. Namun begitu, kajian daripada Legal Affair Division di Pejabat Perdana Menteri pada 2003 pernah mengeluarkan kenyataan bahawa 26,500 orang (25 peratus) dari jumlah 106,000 orang yang diisytihar bankrap adalah berpunca dari kad kredit sejak 20 tahun sebelum itu. Ini pernah menunjukkan kad kredit pernah menjadikan statistik bankrap rakyat Malaysia antara yang tertinggi satu ketika dulu.

Saya masih bersyukur walaupun saya boleh dikatakan agak mudah mengambil pinjaman peribadi, tetapi saya tidak senang berbelanja dengan kad kredit. Satu ketika dahulu, kad kredit emas dan platinum pernah menghiasi dompet saya yang tidak seberapa tebal ini. Saya hanya berbelanja apabila saya mampu untuk membeli secara tunai dan menggunakan kad sebagai penyelamat dari saya membawa tunai yang banyak untuk membeli barang tersebut. Boleh dikatakan kad kredit dijadikan sebagai kad debit kerana saya selalu membayar lebih dari jumlah yang saya gunakan. Itupun saya bayar sebelum sampai tarikh akhir pembayaran. Ini mungkin disebabkan saya pernah mendengar cerita dari kawan-kawan yang sudah menggunakan kad kredit di mana had kredit yang sudah penuh. Bukan satu kad, malahan ada daripada kawan-kawan saya memiliki 3 kad yang sudah penuh had kreditnya.

Melihat kehidupan kawan-kawan yang sengsara dengan kad kredit ini menjadikan saya amat berhati-hati untuk menggunakan kad kredit sebagai perbelanjaan. Saya tidak mahu menjadi sengsara seperti mereka, setiap bulan akan menerima surat penyata kad kredit yang tidak tahu bila penghujungnya dan melarikan diri apabila mendapat panggilan daripada pihak bank. Saya sungguh bersimpati kepada mereka pada waktu itu.

Langit tidak selalunya cerah dan sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Itulah perumpamaan yang boleh digunakan kepada penggunaan kad kredit yang akhirnya menjerat saya dalam hutang yang berjumlah ribuan ringgit. Pada waktu itu, bakal isteri saya menyatakan ada seseorang ingin menumpang kami untuk balik ke pejabat mereka. Saya masih teringat situasi itu walaupun kejadian itu berlaku 7 tahun dahulu (2007). Kejadian tersebut berlaku di pasaraya Tesco Puchong. Dua orang perempuan membuat reaksi sedih untuk pulang ke pejabat mereka yang tidak jauh dari pasaraya Tesco tersebut. Dengan perasaan kasihan, saya menolong menghantar mereka ke pejabat mereka. Mereka amat pandai berkata-kata dan bermain dengan perasaan saya yang mudah untuk menolong orang lain dalam kesusahan. Ternyata mereka umpama buaya yang sudah lama menunggu untuk mendapatkan hasil habuan mereka. Mereka langsung tidak kasihan dan bersyukur di atas pertolongan kami.

Mereka menyatakan ada barang yang ingin di ambil di atas pejabat dan memerlukan pertolongan kami untuk mengambilnya. Mereka menyatakan yang rumah mereka amat berdekatan dan memohon jasa baik kami menghantar mereka ke rumah mereka yang tidak jauh dari situ. Saya dan bakal isteri terus naik tanpa berfikiran negatif kepada mereka. Agak terkejut juga kerana di atas pejabat tersebut masih ada orang yang bekerja. Mereka menyambut kami dengan baik sekali dan untuk memendekkan cerita, kami terjerumus di dalam skim gores dan menang. Mungkin ketika waktu itu saya dan bakal isteri masih mentah tentang skim-skim penipuan ini dan ternyata ilmu penipuan ini saya bayar dengan harga ribuan ringgit. Saya mendapat beberapa peralatan elektrik, vakum dan bermacam-macam lagi. Tapi saya masih bersyukur kerana ada sesetengah barangan tersebut masih dapat saya gunakan sehingga sekarang. Alhamdulillah, walaupun saya di tipu tapi saya masih dapat menggunakan barang yang tidak setimpal dengan harganya.

Pada waktu itu saya masih belum sedar yang saya dan bakal isteri sudah ditipu secara terang-terangan. Saya tersedar yang diri ini ditipu apabila melihat operandi yang sama disiarkan di televisyen. Itupun jangka waktu kes saya sudah mengjangkau 4 bulan dari tarikh berita itu disiarkan. Ternyata anda boleh membuat tuntutan ini di Tribunal sekiranya anda ditipu oleh skim-skim gores dan menang ini. Nasihat saya, elakkan dari membawa kad kredit dan kad debit apabila berjalan-jalan atau sembunyikan kad tersebut dari pengamatan mata buaya-buaya yang berkeliaran untuk mencari mangsa. Hanya masa sahaja yang akan menentukan siapa mangsa mereka selepas ini. Walaupun kejadian tersebut menjadikan satu pengalaman hitam di dalam hidup saya, mempunyai kad kredit tidak salah sekiranya anda tahu menggunakan dan mengawalnya. Jangan jadikan tabiat membayar minima dan berbelanja dengan kad kredit dengan sewenang-wenangnya.

Ada yang menyatakan bahawa kad kredit merupakan syaitan kepada kewangan, ada yang fobia apabila melihat kad kredit, ada yang menganggap ia merupakan satu alat yang memudahkan dan ada yang masih dirantai dengan hutang kad kredit di dalam kehidupan mereka. Sekiranya anda amat fobia dan akan terkena SAWAN apabila mendengar perkataan kad kredit, maka saya sarankan kepada anda supaya menjauhinya. Namun sekiranya anda bijak mengurus dan mengawal kad kredit tersebut, maka anda boleh menjadikan kad itu sebagai koleksi di dalam dompet anda. Semuanya terpulang kepada anda dan sebagai umat islam saya mengharapkan anda menggunakan kad kredit yang bersifat islamik supaya mengelak dari terjadinya riba. Saya teringat akan petikan daripada al-Quran berkenaan riba ini.

“Orang yang makan riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kerasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu adalah disebabkan mereka berkata, sesungguhnya jual-beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual-beli dan mengharamkan riba. Orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu dan urusannya kepada Allah, Orang yang mengulangi, maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.”
Surah al-Baqarah, ayat 275

“Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran dan selalu berbuat dosa.”
Surah al-Baqarah, ayat 276

“Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah riba jika kamu orang yang beriman.”
Surah al-Baqarah, ayat 278

“Maka jika kamu tidak melaksanakannya, maka ketahuilah bahawa Allah dan rasulNya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat, maka bagimu pokok asal hartamu, kamu tidak menganiaya dan tidak pula dianiaya”
Surah al-Baqarah, ayat 279

Anda akan ditimpa masalah yang besar sekiranya anda tidak menghubungi bank anda untuk membuat sebarang pengubahsuaian di atas ketidakmampuan anda untuk membuat bayaran minima. Langkah membiarkan dengan tidak membuat pembayaran tetap malahan bayaran minima akan menyebabkan kadar faedah berganda dikenakan terhadap anda. Anda juga harus memeriksa perbelanjaan harian, mingguan malahan bulanan anda untuk mengetahui aliran perbelanjaan anda. Ia untuk memudahkan anda membajet perancangan bulanan anda. Ingat, jangan abaikan pembayaran bulanan bil kad kredit anda!

Untuk mengelak anda terjerat dengan kesilapan dalam penggunaan kad kredit, ada beberapa perkara yang harus tahu iaitu:

  • Jangan biarkan bil anda tertunggak (kadar faedah berganda akan dikenakan terhadap anda iaitu faedah atas faedah)
  • Harus tahu bagaimana kadar faedah dikira ke atas tunggakan anda (kadar faedah digandakan setiap hari iaitu penggunaan kadar faedah secara harian)
  • Kadar maksimum yang boleh dikenakan kepada anda sekiranya anda ada bayaran tertungak (15 peratus – 18 peratus)
  • Jangan mudah tertarik dengan istilah-istilah yang hebat (baca cetakan halus yang selalunya ada istilah-mengikut terma dan syarat)
  • Tahu bila tarikh penyata dan tarikh akhir pembayaran (pihak bank dapat mengenakan pelbagai caj kepada anda sekiranya anda terlewat membayar jumlah tertunggak walaupun hanya 1 hari)
  • Penawaran yang mungkin sesuai dengan anda (ada kad kredit yang menawarkan mata ganjaran, diskaun atau pengembalian tunai)

    Nanti saya sambung lagi yerr.. dah banyak tu untuk hari ni. Hehe

Sila Tinggalkan Pesanan... Terima Kasih

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s