Kesilapan saya: 1. Hutang Peribadi

Hutang peribadi adalah satu hutang yang di buat untuk kepentingan peribadi atau untuk orang lain tetapi anda haruslah menanggung hutang tersebut. Dengan kata lain, liabiliti itu adalah tanggungjawab anda dan bukannya orang lain. Setentunya ia akan memberi nilai komitmen hutang dalam akaun kewangan anda. Nampaknya anda sudah mula belajar apa itu hutang peribadi. Saya mula terperangkap dengan hutang ini apabila mula terasa tekanan kewangan. Ya, sebelum itu saya sudah bekerja selama 2 tahun di satu negeri yang tidak tinggi kos hidupnya. Boleh dikatakan mewah. Eh bukan mewah, tetapi amat mewah. Saya boleh makan sebanyak 7 kali untuk satu hari. Banyak bukan? Itulah saya ceritakan betapa mewahnya saya makan walaupun hanya bergaji biasa-biasa sahaja. Namun disebabkan saya ni spesis susah naik berat badan tetapi mudah turun berat badan, maka saya masih kekal hensem pada waktu itu. Anda tidak percaya? Percayalah!

Boleh dikatakan pada ketika itu, saya menjadi amat mewah walaupun dengan potensi selera makan saya yang besar, saya masih menjadi bank bergerak kepada kawan-kawan saya. Malahan sekiranya terjadi kes-kes yang memaksa saya mengeluarkan wang sebanyak RM500, saya masih mampu tersenyum malahan tidak kisah dengan nilai tersebut. Harus di ingat, pada waktu itu saya baru berumur 21 tahun. Amat muda dan mentah. Jadi, anda boleh bayangkan betapa mewahnya hidup saya pada waku itu.

Namun, segalanya berubah apabila projek saya telah tamat di utara tanahair. Maka saya harus pulang ke ibu pejabat iaitu di Kuala Lumpur. Saya terkenang bait-bait lagu ini ” Kuala Lumpur, Kuala Lumpur..menyinari hidupku. Kota yang penuh dengan cabaran”. Tenyata ada betulnya lirik lagu ini. Jadi apabila balik ke Kuala Lumpur, ternyata kos hidup adalah amat tinggi. Semua benda harus di potong, di ikat, di perah sebanyak mana yang mungkin supaya cukup untuk menerima gaji baru di bulan hadapan. Dan begitulah setiap bulan yang dilalui selama beberapa tahun. Boleh dikatakan saya dapat menurunkan berat badan 6 kg dalam masa 2 minggu tanpa mengamalkan jamu atau ubat kurus.

Untuk menceritakan kepada anda betapa peritnya kewangan saya ketika itu, saya hanya mampu melihat orang lain makan di restoran. Malahan sekiranya saya melepasi restoran makanan segera, saya hanya mampu mencium bau asap makanan yang keluar dari corong asap di dapurnya. Ada sesekali saya amat teringin makan di restoran makanan segera tersebut, maka dengan segeralah duit saya tidak mencukupi untuk bulan tersebut.

Malah, keadaan kewangan saya lagi ditekan apabila majikan saya membuat pembayaran secara acuh tak acuh. Gaji lambat malahan gaji di bayar separuh adalah keadaan yang akan saya hadapi pada setiap bulan. Bukannya saya tidak boleh minta kerja di tempat lain, tetapi pada waktu itu kepompong untuk keluar dari syarikat tersebut amat menebal atau boleh dikatakan saya takut akan perubahan. Maka saya mula berfikir untuk mendapatkan duit dengan cara berhutang. Cepat dan Mudah!

Tetapi saya bukanlah mengambil hutang peribadi tersebut untuk bersuka ria atau menghabiskan ke tempat lain, tapi saya jadikan duit kecemasan dalam menguruskan kehidupan peribadi. Malahan apabila pembayaran hutang peribadi sudah saya miliki, saya mula ingin membuat perniagaan yang bergantung kepada orang lain. Dengan kata lain, saya hanya ingin makan untung sahaja. Inilah kesilapan besar saya iaitu menyerahkan wang saya kepada orang lain untuk orang itu melakukan perniagaan untuk saya. Dengan ilmu yang cetek, tenyata saya menjadi satu hidangan yang besar kepada buaya yang rakus untuk menyambar duit yang berada disekeliling saya. Saya hanya menyerah diri tanpa tahu bahawa saya di tipu sebulat-bulatnya.

Ya, saya yang menanggung hutang tetapi orang lain yang menikmati habuannya. Sehingga buku ini di tulis, saya belum mendapat petanda bahawa duit itu akan dibayar walaupun telah bermulut manis setelah sekian lama. Tapi saya masih bernasib baik kerana tidak semua hutang peribadi itu habis dibaham, hanya setengah darinya sahaja. Selebihnya, saya simpan buat modal untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Dibenak saya pada ketika itu, lebih baik saya melanjutkan pelajaran secara separuh masa kerana pengalaman kerja saya meningkat dan taraf pendidikan saya juga meningkat. Maka bermula mencari universiti-universiti yang menerima pelajar secara separuh masa atau dengan lebih tepat lain, pada hujung minggu sahaja. Setelah meneliti beberapa universiti, maka saya memilih satu IPTS yang sealiran dengan taraf pendidikan diploma saya. Namun begitu, yuran keseluruhan iaitu 4 tahun tidak cukup dengan sisa-sisa dari pinjaman peribadi saya itu. Saya mula mencari jalan, ternyata jalan yang saya pilih masih silap kerana tidak menambah ilmu kewangan saya ketika itu. Saya mula menambah lagi satu hutang peribadi iaitu PTPTN. Pada umur awal 20-an, saya sudah memiliki dua hutang peribadi yang melebihi RM30 ribu ringgit sahaja. Rasanya masih sikit kot pada pengamatan saya ketika itu.

Bila melihat orang lain bergaya dengan kenderaan masing-masing, saya mula menginginkan sesuatu yang memang saya idamkan dari waktu sekolah menengah dahulu. Sebuah motosikal yang amat tinggi nilai susutnya malahan sekiranya nilai jualan untuk sebuah motosikal itu adalah baru, ia sudah mengjangkau puluhan ribu atau lebih tepat lagi kurang dari RM 30 puluh ribu. Tetapi hanya mempunyai sesaran enjin seperti motor jalanan biasa iaitu 125cc sahaja. Mungkin anda terfikir-fikir apakah motosikal tersebut.

Dengan rela hati saya tidak ingin membebankan sel-sel otak anda, Aprilia 125 RS Extrema adalah nama motosikal tersebut. Motosikal buatan Itali yang ternyata bagus kualitinya tapi agak tinggi untuk menjaga makan minumnya. Begitu juga dengan Yamaha TZM, nilai jualan yang hanya belasan ribu ringgit tetapi bersesaran lebih tinggi iaitu 150cc dan ia adalah buatan Jepun. Bagaimana saya membeli motosikal tersebut? Mudah sahaja, menambah lagi pinjaman peribadi. Seperti yang saya kata sebelum ini, mudah dan cepat!

Boleh dikatakan pada waktu itu, tekanan hidup agak berkurangan kerana saya ada membuat dana kecemasan yang sebenarnya bukan kecemasan tetapi lebih kepada dana yang akan saya ambil secara sedikit demi sedikit setiap bulan. Dengan ilmu kewangan yang boleh dikatakan tiada, maka lama kelamaan duit ini habis. Itulah kenapa saya memberi tekanan kepada ilmu kewangan dari awal bab lagi supaya menunjukkan betapa pentingnya ilmu kewangan dikaca mata saya dan di harap pada kaca mata anda juga.

Anda pasti teringat kan bahawa saya sudah memiliki dua pinjaman peribadi dan pinjaman belajar (PTPTN). Berapakah nilai hutang saya untuk 3 pinjaman tersebut? Masih belum mencapai ratusan ribu lagi nilai hutang peribadi saya ketika itu pada umur 20-an. Rasanya anda sudah faham bahawa kesilapan saya ini amat mudah iaitu bermula dengan pinjaman peribadi. Di harap anda tidak mengikut jejak saya ini, kalau anda sudah mengambil pinjaman peribadi seperti saya maka teruskan membaca pada bab selepas ini kerana saya ada menceritakan bagaimana saya menyelesaikan hutang peribadi saya dengan lebih cepat dari yang sepatutnya.

Nampaknya dengan pemberian nilai kredit yang mudah oleh pihak bank, maka mudahlah nilai hutang saya bertambah. Walaupun ketika itu, saya mengejar untuk menaikkan nilai gaji saya maka dengan itu juga saya mengejar untuk menaikkan nilai hutang saya. Malahan menjadikan hutang tersebut makin meninggi, yang paling menyedihkan pula apabila hutang itu saya tidak jadikan sebagai hutang yang positif. Tetapi lebih kepada hutang yang negatif dan akan mencekik nilai kehidupan saya di masa hadapan.

Mengikut statistik dari Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) dari tahun 2007 sehingga 2013, seramai 18,053 kes (15.50 peratus) yang melibatkan jumlah kes kebankrapan di Malaysia. Itu adalah satu statistik yang terlibat dengan nilai kebankrapan dan bukannya orang yang terlibat dengan pinjaman peribadi. Nampaknya saya tidak menyumbang kepada statistik dari MdI. Sekiranya anda ada, cubalah membayar hutang tersebut supaya nama anda tidak berada dalam senarai hitam.

Abdullah bin Ja’far, Rasulullah SAW bersabda: “Allah akan bersama (memberi pertolongan pada) orang yang berhutang (yang ingin melunasi hutangnya) sampai dia melunasi hutang tersebut selama hutang tersebut bukanlah sesuatu yang dilarang oleh Allah.” Riwayat Ibnu Majah.

Tips saya kepada anda ialah jangan gunakan pinjaman peribadi untuk kegunaan yang tidak membawa sebarang makna dalam meningkatkan kewangan anda. Sekiranya anda meminjam untuk mempercepatkan peningkatan modal simpanan, anda haruslah mencari pinjaman yang menawarkan kadar faedah yang amat sedikit. Amat malang untuk pekerja swasta kerana pihak bank selalunya menawarkan kadar faedah yang lebih tinggi daripada pekerja kerajaan. Sekiranya anda ingin mengambil pinjaman untuk sesuatu yang susut nilai, maka amat tidak digalakkan.

Sila Tinggalkan Pesanan... Terima Kasih

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s