Kesilapan saya: 2. Kad Kredit

Mengikut statistik dari Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) dari tahun 2007 sehingga 2013, seramai 4,875 kes (4.18 peratus) yang melibatkan jumlah kes kebankrapan di Malaysia. Namun begitu, kajian daripada Legal Affair Division di Pejabat Perdana Menteri pada 2003 pernah mengeluarkan kenyataan bahawa 26,500 orang (25 peratus) dari jumlah 106,000 orang yang diisytihar bankrap adalah berpunca dari kad kredit sejak 20 tahun sebelum itu. Ini pernah menunjukkan kad kredit pernah menjadikan statistik bankrap rakyat Malaysia antara yang tertinggi satu ketika dulu.

Saya masih bersyukur walaupun saya boleh dikatakan agak mudah mengambil pinjaman peribadi, tetapi saya tidak senang berbelanja dengan kad kredit. Satu ketika dahulu, kad kredit emas dan platinum pernah menghiasi dompet saya yang tidak seberapa tebal ini. Saya hanya berbelanja apabila saya mampu untuk membeli secara tunai dan menggunakan kad sebagai penyelamat dari saya membawa tunai yang banyak untuk membeli barang tersebut. Boleh dikatakan kad kredit dijadikan sebagai kad debit kerana saya selalu membayar lebih dari jumlah yang saya gunakan. Itupun saya bayar sebelum sampai tarikh akhir pembayaran. Ini mungkin disebabkan saya pernah mendengar cerita dari kawan-kawan yang sudah menggunakan kad kredit di mana had kredit yang sudah penuh. Bukan satu kad, malahan ada daripada kawan-kawan saya memiliki 3 kad yang sudah penuh had kreditnya.

Melihat kehidupan kawan-kawan yang sengsara dengan kad kredit ini menjadikan saya amat berhati-hati untuk menggunakan kad kredit sebagai perbelanjaan. Saya tidak mahu menjadi sengsara seperti mereka, setiap bulan akan menerima surat penyata kad kredit yang tidak tahu bila penghujungnya dan melarikan diri apabila mendapat panggilan daripada pihak bank. Saya sungguh bersimpati kepada mereka pada waktu itu.

Langit tidak selalunya cerah dan sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Itulah perumpamaan yang boleh digunakan kepada penggunaan kad kredit yang akhirnya menjerat saya dalam hutang yang berjumlah ribuan ringgit. Pada waktu itu, bakal isteri saya menyatakan ada seseorang ingin menumpang kami untuk balik ke pejabat mereka. Saya masih teringat situasi itu walaupun kejadian itu berlaku 7 tahun dahulu (2007). Kejadian tersebut berlaku di pasaraya Tesco Puchong. Dua orang perempuan membuat reaksi sedih untuk pulang ke pejabat mereka yang tidak jauh dari pasaraya Tesco tersebut. Dengan perasaan kasihan, saya menolong menghantar mereka ke pejabat mereka. Mereka amat pandai berkata-kata dan bermain dengan perasaan saya yang mudah untuk menolong orang lain dalam kesusahan. Ternyata mereka umpama buaya yang sudah lama menunggu untuk mendapatkan hasil habuan mereka. Mereka langsung tidak kasihan dan bersyukur di atas pertolongan kami.

Mereka menyatakan ada barang yang ingin di ambil di atas pejabat dan memerlukan pertolongan kami untuk mengambilnya. Mereka menyatakan yang rumah mereka amat berdekatan dan memohon jasa baik kami menghantar mereka ke rumah mereka yang tidak jauh dari situ. Saya dan bakal isteri terus naik tanpa berfikiran negatif kepada mereka. Agak terkejut juga kerana di atas pejabat tersebut masih ada orang yang bekerja. Mereka menyambut kami dengan baik sekali dan untuk memendekkan cerita, kami terjerumus di dalam skim gores dan menang. Mungkin ketika waktu itu saya dan bakal isteri masih mentah tentang skim-skim penipuan ini dan ternyata ilmu penipuan ini saya bayar dengan harga ribuan ringgit. Saya mendapat beberapa peralatan elektrik, vakum dan bermacam-macam lagi. Tapi saya masih bersyukur kerana ada sesetengah barangan tersebut masih dapat saya gunakan sehingga sekarang. Alhamdulillah, walaupun saya di tipu tapi saya masih dapat menggunakan barang yang tidak setimpal dengan harganya.

Pada waktu itu saya masih belum sedar yang saya dan bakal isteri sudah ditipu secara terang-terangan. Saya tersedar yang diri ini ditipu apabila melihat operandi yang sama disiarkan di televisyen. Itupun jangka waktu kes saya sudah mengjangkau 4 bulan dari tarikh berita itu disiarkan. Ternyata anda boleh membuat tuntutan ini di Tribunal sekiranya anda ditipu oleh skim-skim gores dan menang ini. Nasihat saya, elakkan dari membawa kad kredit dan kad debit apabila berjalan-jalan atau sembunyikan kad tersebut dari pengamatan mata buaya-buaya yang berkeliaran untuk mencari mangsa. Hanya masa sahaja yang akan menentukan siapa mangsa mereka selepas ini. Walaupun kejadian tersebut menjadikan satu pengalaman hitam di dalam hidup saya, mempunyai kad kredit tidak salah sekiranya anda tahu menggunakan dan mengawalnya. Jangan jadikan tabiat membayar minima dan berbelanja dengan kad kredit dengan sewenang-wenangnya.

Ada yang menyatakan bahawa kad kredit merupakan syaitan kepada kewangan, ada yang fobia apabila melihat kad kredit, ada yang menganggap ia merupakan satu alat yang memudahkan dan ada yang masih dirantai dengan hutang kad kredit di dalam kehidupan mereka. Sekiranya anda amat fobia dan akan terkena SAWAN apabila mendengar perkataan kad kredit, maka saya sarankan kepada anda supaya menjauhinya. Namun sekiranya anda bijak mengurus dan mengawal kad kredit tersebut, maka anda boleh menjadikan kad itu sebagai koleksi di dalam dompet anda. Semuanya terpulang kepada anda dan sebagai umat islam saya mengharapkan anda menggunakan kad kredit yang bersifat islamik supaya mengelak dari terjadinya riba. Saya teringat akan petikan daripada al-Quran berkenaan riba ini.

“Orang yang makan riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kerasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu adalah disebabkan mereka berkata, sesungguhnya jual-beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual-beli dan mengharamkan riba. Orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu dan urusannya kepada Allah, Orang yang mengulangi, maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.”
Surah al-Baqarah, ayat 275

“Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran dan selalu berbuat dosa.”
Surah al-Baqarah, ayat 276

“Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah riba jika kamu orang yang beriman.”
Surah al-Baqarah, ayat 278

“Maka jika kamu tidak melaksanakannya, maka ketahuilah bahawa Allah dan rasulNya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat, maka bagimu pokok asal hartamu, kamu tidak menganiaya dan tidak pula dianiaya”
Surah al-Baqarah, ayat 279

Anda akan ditimpa masalah yang besar sekiranya anda tidak menghubungi bank anda untuk membuat sebarang pengubahsuaian di atas ketidakmampuan anda untuk membuat bayaran minima. Langkah membiarkan dengan tidak membuat pembayaran tetap malahan bayaran minima akan menyebabkan kadar faedah berganda dikenakan terhadap anda. Anda juga harus memeriksa perbelanjaan harian, mingguan malahan bulanan anda untuk mengetahui aliran perbelanjaan anda. Ia untuk memudahkan anda membajet perancangan bulanan anda. Ingat, jangan abaikan pembayaran bulanan bil kad kredit anda!

Untuk mengelak anda terjerat dengan kesilapan dalam penggunaan kad kredit, ada beberapa perkara yang harus tahu iaitu:

  • Jangan biarkan bil anda tertunggak (kadar faedah berganda akan dikenakan terhadap anda iaitu faedah atas faedah)
  • Harus tahu bagaimana kadar faedah dikira ke atas tunggakan anda (kadar faedah digandakan setiap hari iaitu penggunaan kadar faedah secara harian)
  • Kadar maksimum yang boleh dikenakan kepada anda sekiranya anda ada bayaran tertungak (15 peratus – 18 peratus)
  • Jangan mudah tertarik dengan istilah-istilah yang hebat (baca cetakan halus yang selalunya ada istilah-mengikut terma dan syarat)
  • Tahu bila tarikh penyata dan tarikh akhir pembayaran (pihak bank dapat mengenakan pelbagai caj kepada anda sekiranya anda terlewat membayar jumlah tertunggak walaupun hanya 1 hari)
  • Penawaran yang mungkin sesuai dengan anda (ada kad kredit yang menawarkan mata ganjaran, diskaun atau pengembalian tunai)

    Nanti saya sambung lagi yerr.. dah banyak tu untuk hari ni. Hehe

Kesilapan saya: 1. Hutang Peribadi

Hutang peribadi adalah satu hutang yang di buat untuk kepentingan peribadi atau untuk orang lain tetapi anda haruslah menanggung hutang tersebut. Dengan kata lain, liabiliti itu adalah tanggungjawab anda dan bukannya orang lain. Setentunya ia akan memberi nilai komitmen hutang dalam akaun kewangan anda. Nampaknya anda sudah mula belajar apa itu hutang peribadi. Saya mula terperangkap dengan hutang ini apabila mula terasa tekanan kewangan. Ya, sebelum itu saya sudah bekerja selama 2 tahun di satu negeri yang tidak tinggi kos hidupnya. Boleh dikatakan mewah. Eh bukan mewah, tetapi amat mewah. Saya boleh makan sebanyak 7 kali untuk satu hari. Banyak bukan? Itulah saya ceritakan betapa mewahnya saya makan walaupun hanya bergaji biasa-biasa sahaja. Namun disebabkan saya ni spesis susah naik berat badan tetapi mudah turun berat badan, maka saya masih kekal hensem pada waktu itu. Anda tidak percaya? Percayalah!

Boleh dikatakan pada ketika itu, saya menjadi amat mewah walaupun dengan potensi selera makan saya yang besar, saya masih menjadi bank bergerak kepada kawan-kawan saya. Malahan sekiranya terjadi kes-kes yang memaksa saya mengeluarkan wang sebanyak RM500, saya masih mampu tersenyum malahan tidak kisah dengan nilai tersebut. Harus di ingat, pada waktu itu saya baru berumur 21 tahun. Amat muda dan mentah. Jadi, anda boleh bayangkan betapa mewahnya hidup saya pada waku itu.

Namun, segalanya berubah apabila projek saya telah tamat di utara tanahair. Maka saya harus pulang ke ibu pejabat iaitu di Kuala Lumpur. Saya terkenang bait-bait lagu ini ” Kuala Lumpur, Kuala Lumpur..menyinari hidupku. Kota yang penuh dengan cabaran”. Tenyata ada betulnya lirik lagu ini. Jadi apabila balik ke Kuala Lumpur, ternyata kos hidup adalah amat tinggi. Semua benda harus di potong, di ikat, di perah sebanyak mana yang mungkin supaya cukup untuk menerima gaji baru di bulan hadapan. Dan begitulah setiap bulan yang dilalui selama beberapa tahun. Boleh dikatakan saya dapat menurunkan berat badan 6 kg dalam masa 2 minggu tanpa mengamalkan jamu atau ubat kurus.

Untuk menceritakan kepada anda betapa peritnya kewangan saya ketika itu, saya hanya mampu melihat orang lain makan di restoran. Malahan sekiranya saya melepasi restoran makanan segera, saya hanya mampu mencium bau asap makanan yang keluar dari corong asap di dapurnya. Ada sesekali saya amat teringin makan di restoran makanan segera tersebut, maka dengan segeralah duit saya tidak mencukupi untuk bulan tersebut.

Malah, keadaan kewangan saya lagi ditekan apabila majikan saya membuat pembayaran secara acuh tak acuh. Gaji lambat malahan gaji di bayar separuh adalah keadaan yang akan saya hadapi pada setiap bulan. Bukannya saya tidak boleh minta kerja di tempat lain, tetapi pada waktu itu kepompong untuk keluar dari syarikat tersebut amat menebal atau boleh dikatakan saya takut akan perubahan. Maka saya mula berfikir untuk mendapatkan duit dengan cara berhutang. Cepat dan Mudah!

Tetapi saya bukanlah mengambil hutang peribadi tersebut untuk bersuka ria atau menghabiskan ke tempat lain, tapi saya jadikan duit kecemasan dalam menguruskan kehidupan peribadi. Malahan apabila pembayaran hutang peribadi sudah saya miliki, saya mula ingin membuat perniagaan yang bergantung kepada orang lain. Dengan kata lain, saya hanya ingin makan untung sahaja. Inilah kesilapan besar saya iaitu menyerahkan wang saya kepada orang lain untuk orang itu melakukan perniagaan untuk saya. Dengan ilmu yang cetek, tenyata saya menjadi satu hidangan yang besar kepada buaya yang rakus untuk menyambar duit yang berada disekeliling saya. Saya hanya menyerah diri tanpa tahu bahawa saya di tipu sebulat-bulatnya.

Ya, saya yang menanggung hutang tetapi orang lain yang menikmati habuannya. Sehingga buku ini di tulis, saya belum mendapat petanda bahawa duit itu akan dibayar walaupun telah bermulut manis setelah sekian lama. Tapi saya masih bernasib baik kerana tidak semua hutang peribadi itu habis dibaham, hanya setengah darinya sahaja. Selebihnya, saya simpan buat modal untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Dibenak saya pada ketika itu, lebih baik saya melanjutkan pelajaran secara separuh masa kerana pengalaman kerja saya meningkat dan taraf pendidikan saya juga meningkat. Maka bermula mencari universiti-universiti yang menerima pelajar secara separuh masa atau dengan lebih tepat lain, pada hujung minggu sahaja. Setelah meneliti beberapa universiti, maka saya memilih satu IPTS yang sealiran dengan taraf pendidikan diploma saya. Namun begitu, yuran keseluruhan iaitu 4 tahun tidak cukup dengan sisa-sisa dari pinjaman peribadi saya itu. Saya mula mencari jalan, ternyata jalan yang saya pilih masih silap kerana tidak menambah ilmu kewangan saya ketika itu. Saya mula menambah lagi satu hutang peribadi iaitu PTPTN. Pada umur awal 20-an, saya sudah memiliki dua hutang peribadi yang melebihi RM30 ribu ringgit sahaja. Rasanya masih sikit kot pada pengamatan saya ketika itu.

Bila melihat orang lain bergaya dengan kenderaan masing-masing, saya mula menginginkan sesuatu yang memang saya idamkan dari waktu sekolah menengah dahulu. Sebuah motosikal yang amat tinggi nilai susutnya malahan sekiranya nilai jualan untuk sebuah motosikal itu adalah baru, ia sudah mengjangkau puluhan ribu atau lebih tepat lagi kurang dari RM 30 puluh ribu. Tetapi hanya mempunyai sesaran enjin seperti motor jalanan biasa iaitu 125cc sahaja. Mungkin anda terfikir-fikir apakah motosikal tersebut.

Dengan rela hati saya tidak ingin membebankan sel-sel otak anda, Aprilia 125 RS Extrema adalah nama motosikal tersebut. Motosikal buatan Itali yang ternyata bagus kualitinya tapi agak tinggi untuk menjaga makan minumnya. Begitu juga dengan Yamaha TZM, nilai jualan yang hanya belasan ribu ringgit tetapi bersesaran lebih tinggi iaitu 150cc dan ia adalah buatan Jepun. Bagaimana saya membeli motosikal tersebut? Mudah sahaja, menambah lagi pinjaman peribadi. Seperti yang saya kata sebelum ini, mudah dan cepat!

Boleh dikatakan pada waktu itu, tekanan hidup agak berkurangan kerana saya ada membuat dana kecemasan yang sebenarnya bukan kecemasan tetapi lebih kepada dana yang akan saya ambil secara sedikit demi sedikit setiap bulan. Dengan ilmu kewangan yang boleh dikatakan tiada, maka lama kelamaan duit ini habis. Itulah kenapa saya memberi tekanan kepada ilmu kewangan dari awal bab lagi supaya menunjukkan betapa pentingnya ilmu kewangan dikaca mata saya dan di harap pada kaca mata anda juga.

Anda pasti teringat kan bahawa saya sudah memiliki dua pinjaman peribadi dan pinjaman belajar (PTPTN). Berapakah nilai hutang saya untuk 3 pinjaman tersebut? Masih belum mencapai ratusan ribu lagi nilai hutang peribadi saya ketika itu pada umur 20-an. Rasanya anda sudah faham bahawa kesilapan saya ini amat mudah iaitu bermula dengan pinjaman peribadi. Di harap anda tidak mengikut jejak saya ini, kalau anda sudah mengambil pinjaman peribadi seperti saya maka teruskan membaca pada bab selepas ini kerana saya ada menceritakan bagaimana saya menyelesaikan hutang peribadi saya dengan lebih cepat dari yang sepatutnya.

Nampaknya dengan pemberian nilai kredit yang mudah oleh pihak bank, maka mudahlah nilai hutang saya bertambah. Walaupun ketika itu, saya mengejar untuk menaikkan nilai gaji saya maka dengan itu juga saya mengejar untuk menaikkan nilai hutang saya. Malahan menjadikan hutang tersebut makin meninggi, yang paling menyedihkan pula apabila hutang itu saya tidak jadikan sebagai hutang yang positif. Tetapi lebih kepada hutang yang negatif dan akan mencekik nilai kehidupan saya di masa hadapan.

Mengikut statistik dari Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) dari tahun 2007 sehingga 2013, seramai 18,053 kes (15.50 peratus) yang melibatkan jumlah kes kebankrapan di Malaysia. Itu adalah satu statistik yang terlibat dengan nilai kebankrapan dan bukannya orang yang terlibat dengan pinjaman peribadi. Nampaknya saya tidak menyumbang kepada statistik dari MdI. Sekiranya anda ada, cubalah membayar hutang tersebut supaya nama anda tidak berada dalam senarai hitam.

Abdullah bin Ja’far, Rasulullah SAW bersabda: “Allah akan bersama (memberi pertolongan pada) orang yang berhutang (yang ingin melunasi hutangnya) sampai dia melunasi hutang tersebut selama hutang tersebut bukanlah sesuatu yang dilarang oleh Allah.” Riwayat Ibnu Majah.

Tips saya kepada anda ialah jangan gunakan pinjaman peribadi untuk kegunaan yang tidak membawa sebarang makna dalam meningkatkan kewangan anda. Sekiranya anda meminjam untuk mempercepatkan peningkatan modal simpanan, anda haruslah mencari pinjaman yang menawarkan kadar faedah yang amat sedikit. Amat malang untuk pekerja swasta kerana pihak bank selalunya menawarkan kadar faedah yang lebih tinggi daripada pekerja kerajaan. Sekiranya anda ingin mengambil pinjaman untuk sesuatu yang susut nilai, maka amat tidak digalakkan.

7. Anda mengawal wang atau anda di kawal oleh wang?

Pernah satu ketika saya mengambil cuti pada waktu orang lain bekerja dengan satu tujuan iaitu ingin melihat gelagat manusia. Di dalam pemikiran, saya hanya ingin melihat gelagat manusia bekerja di Kuala Lumpur. Dengan permulaan memandu kereta yang menuju ke stesen komuter, saya melihat gelagat-gelagat manusia yang bekerja. Boleh dikatakan hampir kesemuanya tidak ceria, berlumba-lumba mengejar masa dan tahap tekanan memandu yang semakin meninggi. Dan setentunya ia boleh menjadikan seseorang itu mudah mendapat tekanan tinggi untuk lima ke enam tahun kemudian. Di dalam hati terdetik sesuatu, adakah kehidupan harian yang sebegini yang ingin saya tempuhi setiap hari?

Dengan senyuman yang sedikit sumbing, setentunya saya tidak mahu. Dengan menghayati lagu-lagu yang berkumandang, saya tersenyum sendirian. Setelah sampai ke stesen komuter, saya menikmati sarapan pagi bersama isteri tersayang. Sekali lagi sambil menikmati hidangan pagi, saya melihat pula gelagat-gelagat manusia yang berkejaran supaya tidak terlepas dengan komuter yang datang bersilih ganti. Ada yang membawa anak-anak kecil, ada yang berpakaian sehabis cantik dan hensem, ada yang berpakaian separa kemas dan pelbagai lagi gelagat manusia yang saya lihat. Adakah ini cara yang ingin saya pilih? Setentunya tidak kata suara hati yang memberontak.

Setelah selesai bersarapan, kucupan isteri di tangan sebagai tanda hormat dan kasih sayang hinggap sebagai perpisahan untuk isteri pergi menunaikan tanggungjawab sebagai pekerja yang berwibawa. Saya meneruskan perjalanan dengan menaiki komuter untuk sampai ke stesen yang lebih sibuk iaitu KL Central. Di dalam komuter, saya masih melihat gelagat-gelagat manusia yang menunggu dengan sabar untuk sampai ke destinasi yang dituju. Ada yang berdiri dan ada juga yang duduk. Setelah beberapa minit melihat, saya mengeluarkan senaskah buku kewangan sebagai mengisi masa lapang di dalam komuter tersebut. Setelah hampir setengah jam, destinasi yang dituju telah sampai. Dengan berjalan penuh santai, saya melihat kembali gelagat manusia yang berpusu-pusu dengan tujuan yang sama iaitu ingin sampai ke pejabat dengan masa yang ditetapkan. Alangkah bosannya hidup sebegini. Setelah merayau untuk beberapa jam, saya mengambil keputusan untuk pergi ke tempat yang lebih padat kadar manusianya iaitu stesen Masjid Jamek. Dengan berbekalkan kad Touch n Go, saya menetap destinasi yang kedua untuk saya tuju.

Disini saya boleh melihat gelagat manusia yang berada dalam lingkungan umur sekitar awal 20an sehingga 60an. Rata-ratanya berpakaian kemas untuk ke pejabat. Di dalam diri bertanya lagi, adakah saya ingin bekerja untuk orang lain sehingga umur yang sebegitu lanjut? Kenapa saya harus bekerja hingga di usia yang sepatutnya tidak perlu berkejar-kejaran sebegitu. Alangkah bagusnya saya mempunyai wang yang mencukupi untuk usia yang sebegitu. Adakah pakcik yang saya lihat itu, bekerja kerana wang atau kerana minat?

Pada pengamatan saya setentunya wang kerana tanpa wang, bagaimana pakcik tersebut ingin meneruskan kehidupan di dalam taraf hidup yang semakin meninggi. Dalam hati terdetik, saya tidak mahu hidup sebegini diusia tua saya. Biar saya tidak dikawal oleh telunjuk wang tetapi biarlah wang mengikuti arahan saya. Hari itu saya pulang dengan satu cabaran, ingin mengubah sesuatu yang ada penyelesaiannya. Setiap sesuatu perkara, ada caranya. Setelah memerah otak untuk beberapa ketika, saya mendapat satu kesimpulan. Menanam benih sebanyak yang mungkin dari sekarang dan tuailah bila sampai waktunya.

Oleh itu, saya mula membuat beberapa perkara supaya saya tidak lagi dikawal oleh wang tetapi saya yang mengawal wang. Saya mulakan dengan beberapa cara yang mungkin anda boleh praktikkan juga di dalam mengawal kewangan anda.

  • Aliran Kewangan Bulanan (Contoh 1 dan 2) pada bahagian Lampiran sebagai contoh untuk menguruskan hutang.
  • Menambah pendapatan sampingan supaya saya dapat mempercepatkan penyelesaian hutang-hutang negatif di dalam kehidupan.
  • Mula membaca risiko-risiko pelaburan yang ada dan melabur di dalam risiko yang saya boleh hadapinya dengan pulangan yang kompetitif.
  • Menghadiri beberapa seminar kewangan supaya menjadikan diri sendiri lebih celik kewangan dan mengetahui selok-belok kewangan yang senantiasa berubah-ubah.
  • Mencari beberapa mentor yang dapat mengajar saya secara lebih peribadi.