Bab 1: Langkah Pertama Saya Buat Untuk Menunaikan Haji

Alhamdulillah, akhirnya dilapangkan sedikit masa untuk saya berkongsi dengan para pembaca, follower blog dan random reader blog ini. Ketika artikel ini ditulis, sudah hampir masanya (kurang dari sebulan) untuk saya menunaikan haji pada tahun 2015. Walaupun surat pengesahan penerbangan belum diterima, cuma kata-kata dari TH Travel yang dijadikan sandaran. Hari penerbangan dijangka pada 15 September 2015 dan akan berkumpul di Tabung Haji, Kelana Jaya nanti. Mungkin ada para pembaca yang terfikir berapakah umur saya pada waktu ini sehingga dapat menunaikan haji? Ya para pembaca sekalian, umur saya hampir menghampiri 35 tahun (dalam beberapa minggu lagi). Mungkin penulisan kali ini mempunyai intonasi sedikit sentimental memandangkan saya sendiri sudah berasa sedih bercampur gembira sejak beberapa minggu ini.Gembira kerana jangka waktu untuk menunaikan haji sudah semakin hampir manakala sedikit sayu atas beberapa perkara yang melibatkan peribadi. Kadang-kadang terasa seperti pergi dan takkan kembali lagi.. Entah la, mainan hati tiada siapa yang tahu.

Di sini saya cuba berkongsi dengan para pembaca bagaimana saya dapat menunaikan haji pada umur yang agak muda. Muda lagi ke? Tapi itulah hakikat apabila melibatkan haji. Majoriti umur yang saya lihat dalam lingkungan 50 tahun ke atas atau dengan kata lain, umur hampir pencen ataupun sudah pencen. Setiap perkara akan bermula dari langkah pertama, tanpa langkah pertama anda tidak akan maju ke hadapan. Itulah perkara yang sama saya lakukan dalam urusan untuk menunaikan haji. Tidak terlintas untuk pergi secepat ini memandangkan saya beranggapan masih belum bersedia untuk ke sana. Segalanya bermula apabila saya memiliki cahayamata pertama iaitu Wan Anas Ikhwan pada tahun 2010. Pada waktu itu, saya ada membuat perbincangan bersama isteri untuk menjadikan akaun Tabung Haji sebagai tapak pendapatan pasif untuk anak sulung kami ini. Isteri saya lebih mengemari meletakkan simpanan anak (sekarang dah anak-anak la) ke akaun Didik atau ASB. Jadi, terdapat sedikit perbezaan pendapat pada waktu itu.

Saya mengemari akaun Tabung Haji kerana ia patuh syariah dengan dividen yang agak baik manakala isteri mengemari akaun ASB kerana pulangan dividen yang lebih tinggi dari akaun TH. Jadi, isu ini saya memilih untuk memihak kepada isteri pada permulaannya tetapi masih menyimpan cita-cita untuk membuat akaun tabung haji kepada anak sulung kami ini. Saya beranggapan, mungkin pada satu hari.. anak sulung kami ini mempunyai jumlah yang mencukupi untuk  menunaikan haji apabila sampai waktunya. Perasaan ini sudah lama terpendam sehingga kami memiliki anak yang kedua iaitu Wan Asyraf Ikhwan. Ditakdirkan saya mempunyai lebihan wang pada waktu itu. Saya sudah lupa wang itu sumbernya dari mana, yang pasti dari sumber yang halal.🙂 Apabila anak kedua sudah mengjangkau 6 bulan lebih, saya, isteri, anak-anak telah mendaftarkan diri untuk menunaikan haji. Jadi, setiap daripada kami harus ‘lock’ pendaftaran tersebut dengan jumlah simpanan RM1,300 setiap seorang. Kalau didarabkan dengan 4 orang bersamaan RM5,200. Akhirnya, hajat saya untuk membuat lesen ‘L’ untuk menunaikan haji sudah terlaksana. Pada Jun 2013, kami berempat mengesahkan pendaftaran untuk menunaikan haji. Terlihat pada kertas yang diberikan.. tarikh jangkaan menunaikan haji adalah pada tahun 2060! Ya, saya tidak menipu para pembaca sekalian. Ini disebabkan kiraan kuota berdasarkan kerajaan Arab Saudi yang memberi kuota berdasarkan 0.1% daripada penduduk Malaysia.

Tapi pihak Tabung Haji telah menerangkan bahawa tarikh itu adalah jangkaan sahaja. Ia merupakan sistem komputer yang telah melakukan perkiraan secara automatik. Perkiraan sebenar akan dikira apabila bakal-bakal haji ini ada yang meninggal dunia, wang tidak mencukupi, faktor kesihatan dan pelbagai lagi yang memungkinkan bakal-bakal haji ini tidak dapat menunaikan haji. Jadi, kuota ini akan diisi oleh orang yang mempunyai giliran selepas itu. Selepas berkira-kira, kami menganggap bahawa kami akan pergi menunaikan haji bersama-sama satu masa nanti. Sekurang-kurangnya, kami sudah melakukan lesen ‘L’ untuk menunaikan haji iaitu mendaftarkan diri dengan tabung haji. Dengan tempoh 47 tahun (2060 – 2013) yang kami ada, insya’allah kami dapat memenuhi jumlah kos untuk menunaikan haji satu masa nanti. Suka saya ingatkan, sekiranya para pembaca tidak mempunyai jumlah tunai untuk mendaftar haji, para pembaca juga boleh mendaftarkan diri dengan akaun KWSP. Yang penting, cukup RM1,300! Pada waktu ini, kos haji sudah mencecah RM17,270 (tahun 2015) untuk muassasah (kos paling minimum). Namun, sekiranya anda kali pertama melakukan haji, maka anda hanya perlu menyediakan RM9,980 (tahun 2015) dan selebihnya akan ditanggung oleh pihak Tabung Haji. Jadi, sekiranya anda bertanya kepada saya adakah kosnya akan naik dikemudian hari.. jawapan saya PASTI NAIK. Ini disebabkan kos pengangkutan, penginapan, makanan dan lain-lain lagi.

Insya’allah, saya akan cuba membuat sedikit penambahan dari bab 1 (langkah Pertama), bab 2, 3 dan seterusnya sehinggalah saya kembali dari menunaikan haji. Ini sekadar pengkongsian yang boleh lakukan untuk menarik minat, hati dan minda anda untuk menjadi ‘tetamu Allah’. Pada bab yang lain, akan saya ceritakan bahawa kami hanya merancang, Allah yang menentukan. Saya dipanggil menjadi ‘tetamu Allah’ hanya 2 tahun dari tarikh saya membuat lesen ‘L’ tapi tanpa isteri dan anak-anak.

Sila Tinggalkan Pesanan... Terima Kasih

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s