Kisah buku kewangan peribadi dari Nurussalam Aziz

cover

Alhamdulillah, berkat usaha dan sabar selama ini. Akhirnya impian saya untuk menerbitkan sebuah buku perihal kewangan peribadi telah tercapai. Hampir tiga tahun diambil untuk menyiapkan buku ini dari proses rangka kasar, gaya bahasa, mengarang, proses penerbitan dan sebagainya. Kini, buku ini dalam proses akhir suntingan (sudah selesai) sebelum proses mencetak akan dilakukan oleh pihak penerbitan iaitu Truewealth Sdn. Bhd. Terima kasih diucapkan kepada pihak penerbit kerana sudi untuk menerima manuskrip saya dahulu. memberi tunjuk ajar (maklum laa.. kali pertama mengarang, banyak yang silap) dan mencetak untuk diterbitkan kepada orang ramai (jika dilihat pada gambar..akan diterbitkan pada Oktober 2015).

Mungkin anda tertanya-tanya apakah isi kandungan buku ini dan adakah ia menepati citarasa anda? Hmm..sebetulnya, buku ini berkisah tentang kesalahan-kesalahan kewangan yang saya lakukan sebelum ini hingga mengongkong kehidupan dan bagaimana saya bangkit untuk menyelesaian masalah kewangan yang menghantui saya selama ini dengan teknik-teknik yang wujud di Malaysia. Hutang-hutang yang melingkari dan menyesakkan sebelum ini, dapat saya selesaikan dengan pelbagai cara (ada saya kongsikan di dalam buku ini). Tips-tips yang dikongsi merupakan cara saya menyelesaikan masalah kewangan peribadi saya dahulu jadi berkemungkinan ia bersesuaian dengan anda juga. Sebagai umat Islam, saya kongsikan juga apakah amalan-amalan yang saya lakukan (setelah gigih berusaha..selebihnya tawakal kepada Allah) dari sudut Islam. Sejujurnya, telah lama saya ingin berkongsi tips kewangan peribadi yang memungkinkan anda boleh praktikkan dalam kehidupan kewangan peribadi atau keluarga anda. Seboleh-bolehnya, saya ingin menolong anda dan ramai orang diluar sana dengan merujuk kepada betapa pentingnya merancang kewangan peribadi kerana ia mempunyai kesan yang amat panjang kepada anda. Saya menggunakan gaya bahasa yang santai dan ringkas supaya anda tidak terasa seperti anda membaca sebuah buku teks sekolah. Disebabkan itulah, hampir setahun saya mencuba pelbagai lenggok bahasa sehinggalah saya menemui gaya bahasa yang sesuai dengan gaya penulisan saya sendiri. Alhamdulillah, pihak penerbit tidak terlalu terikat dengan gaya bahasa (sebenarnya.. saya sendiri pun tak minat kalau baca buku yang terlalu skema gaya bahasanya).

Pada asalnya, buku ini bertajuk ‘Dari Kepompong Hutang Kepada Bebas Kewangan’. Namun begitu, pihak penerbit menyatakan tajuk itu terlalu panjang lalu pihak penerbit menyarankan menukar tajuk buku kepada ‘Bebas Hutang Hidup Senang’. Setelah berfikir seketika, saya mempunyai idea untuk menukar tajuk yang lebih niche dari pandangan akal fikiran saya ni iaitu ‘Dahulu Dikawal Sekarang Mengawal’. Jadi terpulanglah kepada pihak penerbit untuk mengekalkan tajuk ‘Bebas Hutang Hidup Senang’ atau menukar kepada ‘Dahulu Dikawal Sekarang Mengawal’ disebabkan belum menerima maklumbalas dari pihak penerbit (Truewealth Sdn. Bhd.). Ini kerana syarikat penerbit bercuti selama 2 minggu untuk menyambut Eidul Fitri.

Insya’allah, pihak penerbit berbesar hati dengan memberi diskaun kepada para pembaca yang membeli secara terus dari penulis iaitu saya sendiri. Saya ada nyatakan dalam artikel sebelum ini tetapi harga akhir akan saya war-warkan nanti. (GST punya hal laa ni.. hehe). Salam akhir dari saya..Nurussalam Aziz.

Tips simpanan menunaikan haji untuk anak-anak

TH_logo_baru

Agak lama saya tidak menulis artikel untuk bulan ini. Nampaknya, kita semua sudah berada dipenghujung bulan yang penuh keberkatan iaitu bulan Ramadan. Diharap segala amal kebaikkan kita menjadi saham yang baik di Akhirat nanti dan segala dosa akan diampuni oleh Allah swt. Hmm..nampaknya artikel kali ini sesuai untuk para ibu bapa ataupun yang bakal menimang cahaya mata nanti. Kepada yang masih bujang ‘trang tang tang’, boleh menjadikan salah satu tips untuk anak-anak anda nanti.

Pada Julai 2013, saya dan isteri sudah mendaftarkan nama anak – anak (yang pertama dan kedua) dalam ‘waiting name’ untuk menunaikan haji. Pada waktu itu, kami sudah dapat melihat bahawa tarikh jangkaan menunaikan haji adalah 2060. Jika ditolak 60 – 13, maka anak kedua saya akan berumur 47 tahun pada waktu untuk menunaikan haji nanti. Anak pertama pula, sudah mencapai umur 50an. Kami? Hmm…tak perlulah dikira untuk tatapan anda. Biar kami sahaja yang tahu. Hehe. Tetapi menurut kata pegawai Tabung Haji (TH), jangkawaktu tidak akan sampai selewat itu kerana jangkamasa akan menjadi lebih pendek disebabkan hal-hal dari calon-calon Jemaah Haji seperti meninggal dunia, penolakkan dari calon, tidak sihat, tidak cukup wang dan macam-macam lagi). Sekurang-kurangnya, langkah pertama untuk Lesen L haji telah dilakukan untuk anak-anak oleh kami. Alhamdulillah..

Pada bulan ini, kami membuat pengemaskinian buku untuk anak-anak di pejabat Tabung Haji. Kami agak terkejut sebenarnya disebabkan anak sulung kami sudah mempunyai simpanan yang secukupnya untuk menjadi muasasah haji iaitu simpanan sebanyak RM10,000. Dan setentunya, simpanan ini akan mempunyai kenaikkan disebabkan oleh pemberian dividen dari  TH dan sumber simpanan lain. Pada umur 5 tahun, anak sulung kami mempunyai simpanan yang secukupnya untuk menunaikan haji. Hmm.. mungkin para pembaca ingin tahu bagaimana cara kami melakukannya bukan? Untuk memudahkan anda, saya senaraikan secara ringkas sebagai tips untuk anda. Anda sudah bersedia?

Duit Dari Pemberian Orang Lain: Kami tidak pernah menggunakan wang yang diberikan oleh orang lain kepada anak-anak kami. Ia bermula seawal hari pertama mereka lahir ke dunia ini. Kami bersepakat dengan menganggap duit itu adalah hak kepada anak-anak kami.
Duit di Hari Raya Eidul Fitri: Segala wang yang diperoleh pada setiap tahun, kami akan masukkan secara 100%. Tidak kira berapa jumlahnya, apabila habis musim Eidul Fitri.. kira-kira akan dilakukan oleh akauntan (isteri saya laa tu..hehe) dan akan dimasukkan ke akaun tabung haji.
– Lebihan Duit Belanja Bulanan: Kami sudah memperuntukkan setiap anak mempunyai sejumlah amaun pada setiap bulan. Sekiranya terdapat lebihan, akan disimpan dan apabila berpeluang ke TH.. kami akan memasukkannya tanpa melihat pada jumlah yang ada.
– Simpanan Ke Dalam Tabung: Kami telah menyediakan tabung khas untuk anak-anak (asing-asing) di mana kami kadang-kadang berikan walaupun hanya wang syiling 10 sen. Ini bertujuan untuk mendidik mereka menabung di usia yang masih kecil. Kesan positif, anak-anak akan tahu untuk menyimpan duit di dalam tabung.
Compounding Dividen: Setiap tahun, dividen akan diberikan oleh pihak TH jadi ‘wang ini telah bekerja’ secara automatik. Lagi cepat anda simpan, lagi cepat ia memberi kenaikkan pada setiap tahun. 10 tahun simpanan di awal usia, tidak akan sama 10 tahun anda menyimpan ketika berusia nanti.

Dengan konsep, sedikit demi sedikit..lama-lama jadi bukit memberikan impak yang positif kepada akaun simpanan anak-anak kami. Saya selalu mendengar keluhan daripada calon-calon haji yang menyatakan agak sukar untuk menyimpan RM10,000 untuk anak-anak. Mungkin tips ini boleh membantu anda untuk menyediakan legasi anda kepada sesuatu yang positif. Harap membantu.. 🙂