Kisah Hospital Swasta & Klinik Kerajaan

berada dalam Selamat bertemu kembali wahai pembaca yang disayangi. Alhamdulillah, di kesempatan ini dapat saya menulis satu artikel mengenai pengalaman saya berada di hospital swasta dan kerajaan. Kejadian ini berlaku dari 5 tahun yang lepas dan berturutan setiap kali pertambahan zuriat sehingga sekarang. Cerita ini lebih berkisar tentang keputusan saya dan isteri dalam isu hospital mana yang harus dipilih. Emm.. nampaknya terpaksa terbang ke dalam sel-sel otak mencari laci-laci pengalaman yang berada dalam fikiran ini.

Pada penghujung 2009, saya menerima kisah gembira iaitu bakal memiliki zuriat yang pertama hasil perkahwinan saya dan isteri. Seperti semua pasangan yang baru berkahwin, mestilah ingin memberi yang terbaik untuk pasangan dan anak yang akan dilahirkan nanti. Pada waktu itu, saya dan isteri menyewa sebuah pangsapuri di Bukit Puchong 2. Maklum la, kewangan masih belum kukuh pada ketika itu. Memandangkan isteri mengandung dan tinggal di Bukit Puchong 2 maka untuk membuat ‘pemeriksaan kandungan’ haruslah berdekatan dengan klinik yang berdekatan. Kami telah melakukan pemerhatian kepada dua klinik yang berdekatan iaitu klinik di Pulau Meranti dan Batu 14, Puchong. Setelah diteliti, keadaan klinik di batu 14 lebih memuaskan hati dan selesa pada pengamatan yang pertama. Pada ‘pemeriksaan bulanan’, saya tidak turut serta kerana kekangan kerja pada waktu itu. Dengan kudrat isteri, dia memandu kereta manual untuk menempuhi trafik ke Batu 14, Puchong. Terpaksa relakan walaupun hati ni keberatan kerana memikirkan keadaan isteri yang keletihan dan kelesuan akibat ‘morning sickness’. Kalau boleh, memang ingin membuat pemeriksaan di hospital swasta tetapi kekangan kewangan yang tidak mengizinkan. Maklumlah, sekali pemeriksaan.. haruslah mengeluarkan RM150. Satu amaun yang agak tinggi pada kami ketika itu..

Setelah isteri memandu untuk mendaftarkan diri di Batu 14 Puchong tetapi ditolak berdasarkan tempat kediaman sewaan kami berada dalam kawasan Bukit Puchong 2. Dengan sedikit hampa, isteri gagahkan diri pula untuk pergi ke klinik kesihatan di Bukit Puchong 2. Bukanlah kami terlalu memilih tetapi laluan untuk ke klinik yang menakutkan bagi kami (imaginasi mula berterbangan tentang cerita-cerita hantu) dan keadaan klinik tersebut yang tidak sebaik klinik di Batu 14, Puchong. Tetapi isteri tidak membuat pendaftaran di klinik BP 2 kerana ada kejadian yang agak menakutkan bagi isteri. Apabila saya pulang, barulah isteri menceritakan segalanya. Pada keesokkan harinya, isteri mencuba kali kedua untuk mendaftarkan diri ke klinik Batu 14, Puchong. Sangkaan awal memang akan ditolak berdasarkan isu semalam tetapi isteri mencuba juga untuk kali kedua. Pada mulanya, jururawat di situ ada menolak permohonan kami tetapi setelah isteri menyatakan bahawa akan melahirkan anak di tempat kelahiran isteri (Kedah), barulah jururawat pendaftaran itu berkata ok.. itupun kerana ada pertolongan jururawat yang berasal dari Kedah bekerja di situ. Terima kasih diucapkan kepada jururawat itu kerana menolong kami dan tidak lupa kepada Pencipta semesta alam ini (Allah swt) kerana memudahkan urusan kami. “Perbezaan jarak kawasan dipecahkan antara klinik disebabkan apa-apa kes sebelum dan selepas kelahiran (waktu pantang) akan di ‘follow up’ oleh klinik tersebut” itulah penerangan ringkas dari jururawat yang berasal dari Kedah kepada kami. Jadi memandangkan isteri akan melahirkan bayi dan berpantang di Kedah, maka permohonan kami dianggap ‘kes toleransi’.

Selepas pendaftaran dilakukan maka kami haruslah datang pada setiap bulan untuk melakukan pemeriksaan. Pada setiap bulan saya memerhati keadaan dan orang yang datang ke klinik tersebut. Apa yang dilihat, kami memang terkejut kerana keadaan yang sesak dari pelbagai bangsa yang datang.. itu belum dikira dari orang yang bukannya berasal dari Malaysia. Boleh dikatakan, klinik tersebut amatlah sesak sehingga ada yang berdiri di luar (lepak2 kat luar atau dalam kereta). Kalau ingin berjalan-jalan di dalam klinik, jarak individu dengan individu lain (yang mundar mandir + berdiri) lebih kurang 1 meter sahaja. Walaupun klinik tersebut mempunyai cermin yang banyak, tetapi keadaan menjadi sedikit gelap kerana cahaya dihalang oleh ramai orang yang berdiri. Begitulah keadaan yang harus dihadapi pada setiap bulan dengan jangkamasa tiga hingga empat jam. Kali pertama di klinik (Batu 14) isteri masih ok, apabila masuk kali 3 @ 4, isteri mula mengeluh. Mungkin disebabkan keadaan yang makin sarat dan keletihan. Saya mula bersuara “Biasalah, kita pergi tempat yang bayaran murah.. memanglah ramai orang. Apa-apa pun, bila murah.. orang akan ramai”. Itulah jawapan saya terhadap keluhan isteri. Walaupun begitu, hati ini sudah meletakkan satu azam untuk melahirkan bayi di hospital swasta dan bukannya di hospital kerajaan. Sebab apa.. saya akan ceritakan di perenggan bawah nanti. Isteri juga bercerita tentang layanan jururawat yang sedikit kasar.. saya menjawab dengan jawapan ini ” Sabarlah, kita pergi tempat ramai orang.. jururawat mengadap ratusan orang dari pagi hingga sekarang (kami ambil waktu pemeriksaan pada sesi petang). Mestilah mereka penat melayan pelbagai kerenah dari orang ramai. Jangan marahkan jururawat.. mereka kepenatan”. Setelah diterangkan dengan lebih lanjut.. isteri mula memahami dengan penerangan tersebut. Saya menceritakan pro dan kontra antara klinik kerajaan dan swasta kepada isteri..

Dalam tempoh waktu 2 @ 3 bulan sebelum tarikh bersalin, saya dan isteri mula menggunakan magik dari pakcik ‘google’ untuk membuat carian tentang hospital swasta yang bagus dengan bajet yang ada. Pelbagai forum di baca dan pelbagai nasihat ditanya kepada orang-orang yang sudah melahirkan bayi. Kami menerima input berdasarkan pengalaman orang yang menghadapinya. Kami dengar, teliti dan tapis segala input sebelum membuat keputusan hospital swasta yang harus dipilih. Oh ya.. saya hampir terlupa untuk menceritakan kenapa saya memilih untuk bersalin di hospital swasta dan bukannya hospital kerajaan. Kami mendapat banyak input yang kami fikir lebih baik mencari hospital swasta. Terdapat kes-kes ketidakcukupan katil ketika bersalin, kes-kes kesilapan doktor dan pelbagai lagi yang menjadikan kami memilih untuk membuat keputusan ini. Kes-kes ini terdapat logiknya apabila kami bandingkan dengan keadaan ibu-ibu mengandung yang membuat pemeriksaan. Kami juga ada membaca kes-kes hospital swasta yang lebih gemar melakukan ‘ceaser’ dari melakukan kelahiran secara normal. Walaupun terdapat kes yang memang memerlukan ‘ceaser’ tetapi terdapat kes yang memang hospital swasta ini ingin membuat keuntungan dengan cepat dan berlipat kali ganda. Kami bukanlah memilih secara rambang tetapi kami pilih berdasarkan bacaan dan pengalaman dari orang yang menghadapinya. Jadi, anda boleh memilih hospital kerajaan atau swasta yang menjadi pilihan. Cuma berbeza ialah berapa tebalkah poket anda ada?

Setelah selesai segalanya, maka kami membuat pula pemeriksaan susulan di Alor Star, Kedah. Pada setiap minggu (Sabtu Ahad), saya akan berulang alik dari Shah Alam (Selangor) ke Alor Star (Kedah) dengan menaiki bas. Orang kat kaunter bas pun sampai boleh bagi diskaun disebabkan kekerapan saya membeli tiket bas dengan mereka. Alhamdulillah.. dapat diskaun tapi setentunya semuanya datang dari Allah swt yang membuka ihsan dan hati orang kaunter tersebut untuk memberi diskaun.🙂 Pada asalnya, isteri memilih untuk melahirkan bayi dengan doktor perempuan tetapi kami hanya boleh merancang. Di awal pagi, isteri sudah mengadu sakit-sakit perut. Pada asalnya, isteri ada mengejutkan saya… mungkin disebabkan keletihan saya memang tidak sedar sepenuhnya (isu ini akan dibangkitkan apabila isteri mengalami proses pertambahan cahaya mata..hehe). Dalam keadaan awal pagi, kami terpaksa memilih doktor dan hospital yang lain kerana doktor perempuan yang kami pilih belum masuk bertugas. Poliklinik INS menjadi pilihan kami pada waktu itu memandangkan hospital ini yang paling dekat dan memiliki reputasi yang positif dari ibu-ibu yang melahirkan anak di sini.

Isteri dibawa ke bilik persalinan dan urusan seterusnya dilakukan oleh jururawat. Saya hanya masuk apabila urusan jururawat telah selesai. Saya menemani isteri sambil memegang dan mengusap tangan isteri. Mulut ini tidak putus dari selawat dan berdoa semoga segala urusan dipermudahkan oleh Allah swt. Kadang-kadang tangan saya digenggam dengan kuat apabila ‘contraction’, ia menyebabkan tangan saya sedikit kebas apabila genggaman kuat ini berlaku dengan kerap. Saya cuma biarkan kerana saya tahu isteri lebih menanggung kesakitan yang lebih dari tangan saya yang kebas ni. Tangan kebas je kot.. hehe. Jururawat ada datang beberapa kerap kali untuk memantau keadaan isteri. Meter denyutan jantung dan pelbagai lagi meter yang tak pernah saya tengok sebelum ini.. sambil-sambil mulut ni mula banyak bertanya apa fungsi meter itu dan ini. Maka banyaklah “oooo…ooooo” yang memang faham dan bukannya “oooo…oooo” yang tak faham @ tak tahu. Saya mula melihat layanan yang berbeza jika nak dibandingkan dengan pengalaman di hospital kerajaan sebelum ini. Saya tidak salahkan mereka kerana jumlah orang ramai yang diterima, jumlah kerenah dan bayaran yang saya anggap tidak setimpal dengan pengorbanan mereka pada setiap hari. Saya memilih hospital swasta kerana saya tahu bahawa isteri sudah keletihan selama 9 bulan.. apa salahnya saya menyediakan keselesaan dan kurangkan kerisauan dengan membayar kos kelahiran di hospital swasta. Lagipun, biarlah orang yang lebih memerlukan menggunakan khidmat kelahiran di hospital kerajaan. Dengan sedikit rezeki yang ada, apa salahnya saya membuat keputusan sebegitu. Keselesaan kepada pasangan dan menolong orang lain.

Dalam tempoh beberapa jam menemani isteri, seorang jururawat mempersilakan saya keluar sebentar kerana mereka ingin membuat pemeriksaan terhadap isteri. Saya hanya duduk di luar dan melakukan apa yang perlu sahaja selama satu setengah jam. Tiba-tiba pintu dibuka dan panggilan dari jururawat kedengaran. “Siapa suami kepada …., sila masuk”. Dengan muka kelat-kelat kambing, pintu itu dituju. Jururawat mempersilakan saya masuk lantas menunjukkan ke arah satu sudut kanan saya. “Itu baby..encik dah boleh azankan”. Saya agak kaget sebentar dan melihat satu jasad yang tengah dibalut dengan kain putih menangis.. “hiyerkkk..hiyerrkkk…hiyerkk”. Saya sedikit kaku kerana tidak menyangka bahawa bayi telah dilahirkan. Saya bertanyakan arah kiblat dan mula menuju ke arah bayi tersebut. Tangan-tangan ini mula melakukan kerjanya dengan sebaiknya untuk mengangkat bayi ini ke pangkuan. Sebelum ini, bayi dipangku adalah adik-adik dan anak saudara yang masih bayi. Kali ini dipangkuan adalah zuriat yang dilahirkan dengan penuh kasih saya dari seorang isteri. bayi ini masih menangis “hiyerkkk..hiyerkk…hiyerkk”. Saya mula mengazankan ke telinga kanan bayi ini. “Allahu Akhbar, Allahu Akhbar…”. Tangisan mula tidak kedengaran dan hanya memandang muka siapakah gerangan orang asing yang membaca alunan azan ke telinga. Hanya pandangan mata melihat tanpa berkelip ke arah orang asing yang bernama Nurussalam Aziz. Setelah alunan azan selesai, maka bayi tersebut diletakkan kembali ke tempat asal kerana jururawat ingin membersihkan anak sulung kami ke tempat yang berasingan. Maka kedengaran kembali tangisan bayi pertama kami diruang bilik tersebut sehingga troli ditolak untuk memindahkan bayi ke bilik yang lain. Selepas itu, saya menyelak kain tirai bilik. Isteri kelihatan tertidur keletihan dan saya singgahkan kucupan ke dahi isteri yang masih mempunyai keringat peluh. Setelah beberapa belas minit melihat keadaan isteri yang masih tidur, maka saya keluar sebentar untuk menjemput adik ipar dan ibu mertua yang baru sampai di hospital. Hanya syukur dipanjatkan kerana kedua-duanya berada dalam keadaan selamat.

Sebelum artikel ini menjadi buku, baik tangan jemari ini berhenti dari menaip kisah yang mula berlegar-legar di fikiran ini. Proses melakukan pemeriksaan di hospital kerajaan dan proses kelahiran di hospital swasta masih kami gunakan sehingga sekarang (sehingga anak ketiga kami). Cuma tempat hospital untuk melakukan pemeriksaan dan kelahiran yang kadang-kadang berubah kerana perpindahan tempat tinggal atau keadaan yang tidak mengizinkan. Setakat ini, kami rasa berpuashati dengan layanan jururawat dan hasil kerja doktor dari hospital INS Specialist Centre (Alor Star, Kedah) dan Poliklinik Barakah (Bandar Puteri, Klang). Untuk klinik pemeriksaan di Batu 14 Puchong, Bakar Bata Alor Star dan Seksyen 7 Shah Alam kami ucapkan terima kasih. Kami memahami kesulitan anda.

2 comments on “Kisah Hospital Swasta & Klinik Kerajaan

Sila Tinggalkan Pesanan... Terima Kasih

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s