Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) boleh saya simpulkan sebagai sebuah badan kewangan yang memberi pinjaman kepada pelajar-pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran di institusi pelajaran iaitu kolej mahupun universiti. Saya juga tidak terlepas untuk mengambil pinjaman ini pada tahun 2007 kalau tidak silap saya.
Dahulu, memang saya tidak tahu bahawa PTPTN akan mengenakan ‘interest’ pada setiap jumlah pinjaman untuk pelajaran. Rasanya memang ramai yang tidak tahu seperti saya sebelum ini kan? Mesti ramai yang beranggapan bahawa pinjaman PTPTN seperti pinjaman MARA / biasiswa dan bukannya seperti pinjaman kewangan bank cuma berbeza jumlah keuntungan yang di ambil. Seperti yang anda tahu, pihak PTPTN telah mewar-warkan bahawa anda boleh menukarkan dari pinjaman yang 3 peratus (konvensional) kepada bayaran ujrah 1 peratus (islamik). Jadi sudah tentu anda akan berkata lebih bagus saya membayar menggunakan ujrah kerana 1% kan. Sebenarnya ada istilah-istilah teknikal yang akan saya ceritakan kepada anda.
Kos pentadbiran yang dikenakan
Pertama kali anda jangan tertipu dengan kadar interest yang di beri. Ujrah mengamalkan jumlah 1% kepada jumlah pinjaman keseluruhan pertama anda dan akan dikenakan kepada keseluruhan bulan jangkamasa pinjaman anda. Sebagai contoh, anda mengambil pinjaman sebanyak RM10,000. Jadi 1% akan dikenakan kepada RM10,000 iaitu RM100. Kemudian ia akan dibahagi kepada 12 bulan iaitu RM8.30. Itulah jumlah ‘kos pentadbiran’ yang akan diambil untuk jangkamasa pinjaman anda. Sekiranya 20 tahun (240 bulan) bersamaan RM8.30 x 240 = RM1,992 (kos pentadbiran). Kadar ini akan sama walaupun jumlah prinsipal pinjaman anda telah berkurangan.
Ini berbeza pula dengan kadar 3% yang dikenakan oleh pihak PTPTN sebelum ini iaitu di mana 3% itu dikenakan pada jumlah prinsipal yang ada tinggal. Semakin rendah prinsipal anda, semakin sedikit jumlah yang ‘kos pentadbiran’ yang dikenakan. Sebagai contoh, anda meminjam sebanyak RM10,000. Jadi 3% akan dikenakan pada baki jumlah yang pertama dan dibahagi kepada 12 bulan. Sebagai contoh RM10,000 x 3% bahagi 12 bulan = RM25 (bulan pertama). Anda nampak tinggi kan? Katakan anda telah membayar RM5,025 sebelum bulan kedua. Maka kiraan untuk bulan kedua ialah RM10,025 – RM5,025 = RM5,000. RM5,000 x 3% bahagi 12 bulan = RM12.50 (bulan kedua). Anda boleh lihat perbezaan pembayaran ‘kos pentadbiran’ yang telah dinyatakan.
Secara singkatnya, 1% (ujrah) mengamalkan satu kali kiraan pada jumlah pinjaman pertama dan akan dikenakan kepada keseluruhan jangkamasa pinjaman. Kalau kadar ‘kos pentadbiran’ adalah RM8 ringgit makan ia akan kekal selama 240 bulan anda. Sekiranya anda mengambil 3% maka ia dikenakan kepada jumlah baki pinjaman pada setiap bulan. Kos itu akan berkurangan seiring dengan jumlah pinjaman anda.
Pendapat dari saya
Sekiranya anda ingin membayar pada jangkamasa yang pendek, saya syorkan anda tidak perlu menukar kepada sistem ujrah. Sekiranya anda ingin membayar pada kadar minimum sahaja setiap bulan pada jangkamasa yang ditetapkan, ujrah adalah jawapannya. Jangan tidak membayar pinjaman anda kerana setiap bulan ‘kos pentadbiran’ ini akan dikenakan kepada anda pada setiap bulan.
Saya mengekalkan kepada 3% kerana saya ingin menghabiskan jumlah pinjaman saya secepat mungkin. Dengan hanya membayar lebih dari yang disyorkan oleh pihak PTPTN, saya berjaya memendekkan jumlah pinjaman sekurang-kurangnya sebanyak 10 tahun.
Pada pengamatan saya, Ujrah ini memberi fix payment kepada pihak PTPTN. Manakala 3% akan menyusutkan jumlah keuntungan pada setiap tahun. Jadi terpulang kepada anda. Kadang-kadang saya tak suka terma-terma islamik yang diperkenalkan oleh pihak pemberi pinjaman kerana nampak indah dari luar tetapi bila diteliti, ada terselit sedikit penindasan.